Berita

Kerajaan Pulau Pinang umum ‘bonus’ RM600 untuk operator bas sekolah

GEORGE TOWN, 7 DIS: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM600 setahun kepada semua operator bas sekolah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) di negeri itu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata jumlah peruntukan sebanyak RM462,000 tersebut diberikan sebagai mengiktiraf usaha dan keprihatinan operator bas sekolah dalam menjaga pelajar-pelajar sekolah di Pulau Pinang.

“Anggaplah ini ‘bonus’ khas perkhidmatan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk operator bas sekolah berdaftar di negeri ini.

“Sungguhpun jumlahnya tidak seberapa, namun, ia jelas menunjukkan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang benar-benar mahu membantu semua rakyat Pulau Pinang mengurangkan beban hidup dalam berdepan masalah kenaikan kos sara hidup,” ucapnya pada Majlis Pemberian Insentif Perkhidmatan kepada Operator Bas Sekolah di Komtar, Isnin lalu.

Insentif berjumlah RM462,000 pada tahun ini akan disalurkan kepada 621 operator bas sekolah dengan jumlah permit sebanyak 770.

Bayaran sebanyak RM600 setahun tersebut adalah untuk setiap permit. Bayaran berikutnya iaitu pada tahun 2017 akan dibuat dua kali setahun. – Roketkini.com