Rencana

DAP dan hasil kerja dakwahnya

Kerja dakwah adalah larian marathon yang tidak pernah berkesudahan. Ia sarat dengan dugaan demi dugaan yang kadang-kadang terlalu melelahkan, sehingga ada yang berputus asa, berpatah balik atau berhenti di tengah jalan.

Ada yang kecewa dan ingkar dengan perjuangan dan ada antara mereka yang kekal bertahan. Mereka yang bertahan inilah yang pastinya akan dapat melihat hasilnya seperti mereka berpeluang menyaksikan Tun Mahathir yang hadir ke Persidangan Tahunan DAP 2016 di Shah Alam hari ini, buat julung kalinya.

Tetapi kerja dakwah yang dimaksudkan ini bukanlah berputar sekadar isu-isu agama yang terkadang dirimbun oleh agamawan palsu-jadi-jadian. Kerja dakwah ini termasuklah mencakupi kerja-kerja mendidik, memperbaiki sikap dan pemikiran rakyat bagi menghadapi penentangan, kezaliman atau kehodohan kepemerintahan dalam negara misalnya. DAP juga punyai tanggungjawab membuat kerja dakwah seperti ini.

Kerja dakwah DAP ini adalah pekerjaan panjang yang tugasnya mendidik masyarakat memahami perjuangan dan kesungguhan parti menyatukan seluruh rakyat sebagai sebuah keluarga besar tanpa batasan bangsa dan warna kulit, ikhlas memperbaiki taraf hidup dan ekonomi rakyat serta merukuni nilai-nilai yang murni dalam masyarakat. Ianya perlu dilakukan dengan tekun, penuh sabar dan memerlukan sifat daya tahan yang tinggi. Ianya tidak mudah dilakukan oleh sebarangan manusia.

Akan tetapi, kerja dakwah ini akan kekal diusung sebagai metod perjuangan walaupun kita tidak mengetahui bila masa dan saatnya kita boleh memetik hasil ranum daripada kerja dakwah tersebut. Hanya mereka yang benar-benar yakin pada prinsip yang didukung dan sabar dengan mehnah perjuangan sahajalah yang akan menyambut berita baik itu.

Namun, siapa sangka harga kesabaran dan kecergasan kerja dakwah DAP sejak penubuhannya 50 tahun lepas terbayar hari ini. Pintu kebenaran yang diusahakan dengan ikhlas terkuak sedikit demi sedikit. Sekali lagi dalam Persidangan Tahunan Parti DAP 2016 yang berlangsung di dalam Shah Alam hari ini telah mewarnai sejarah baru buat blok pembangkang.

Apakah ada kemenangan lain yang boleh diraikan selain keterujaan khalayak yang menjadi saksi Tun Mahathir mengakui bahawa beliau pernah tersilap menghakimi DAP dan segala perjuangannya selama ini? Bercakap di hadapan para wartawan, pemimpin parti, ahli-ahli DAP, penyokong dan semua pemerhati; Tun Mahathir mengakui tersilap menanggapi DAP sebagai sebuah parti satu kaum  – yang dipasarkan beliau sendiri dan parti lamanya selama berpuluh tahun lamanya.

Malah beliau mengakui parti DAP lebih ‘Malaysia’ berbanding UMNO dan BN cukup sekadar mendengar lagu parti yang dinyanyikan dan ucapan pemimpin-pemimpin parti yang dibuat dalam bahasa kebangsaan. Maka fitnah mendakwa DAP parti yang anti-Melayu dan menolak Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan secara otomatisnya tertolak.

Kata-kata Johnny Depp mungkin boleh menggambar apa yang dirasai Tun Mahathir, di saat beliau berada di dalam persidangan sebuah parti pembangkang yang dicemuhnya selama berpuluh tahun; “Kamu mungkin boleh menutup mata dengan perkara yang kamu tidak mahu lihat, tetapi kamu tidak akan dapat menutup hati dengan perkara yang kamu rasa”.

Beliau juga naik saksi betapa DAP ini sebenarnya diungguli oleh pelbagai bangsa baik Melayu, Cina, India dan lain-lain etnik sehingga beliau mungkin terlupa semasa hayat 22 tahun sebagai Perdana Menteri dan beberapa tahun selepas persaraannya, beliau masih mendakwa DAP sebagai ‘parti Cina’ dan parti yang anti-Melayu dan Islam. Ini juga putik kemenangan yang terhasil daripada kerja dakwah DAP sedari 50 tahun yang lampau.

Hari ini kerja dakwah DAP bukanlah tamat dengan pengakuan Tun Mahathir itu. Ia sekadar mengesahkan sahaja; jika kita di pihak yang benar, yakinlah dengan displin dan kerja dakwah yang berterusan, lambat laun kebenaran pasti datang menemukan kita.

Al-Marhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat pernah mengungkapkan;

“Kebenaran itu bagai air yang mengalir di celah-celah batu. Biar sekuat mana kita menghalanginya dengan batu-batu tersebut, ia pasti akan mengalir jua”.

Maka, janganlah gundah-gulana, kerana, dengan apa yang dihidangkan di dalam persidangan DAP hari ini berbanding persidangan UMNO tempoh hari, siapa tahu barangkali DAP juga dipilih dan ditakdirkan Tuhan untuk berada di sini, seperti hari ini.

Teruskan Berjuang! – Roketkini.com

*Nor Miswary Ramli ialah Setiausaha DAP cawangan USJ Subang Jaya