Berita

Fitnah dana asing untuk ‘Red Bean Army’, DAP dakwa anak bekas ketua polis buat laporan palsu

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Polis perlu mengambil tindakan ke atas laporan palsu berhubung dakwaan kononnya DAP menerima sumbangan asing bagi tujuan operasi tentera siber.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng menegaskan bahawa DAP tidak pernah menerima sebarang sumbangan dana asing dan menafikan kewujudan tentera siber Red Bean Army (RBA) seperti yang difitnah dalam laporan terbabit.

“Apa yang terbukti di seluruh dunia dan yang mendapat dana asing RM2.6 bilion adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dan beliau sendiri mengaku,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.

Lip Eng berkata demikian selepas membuat laporan polis ke atas laporan palsu anak kepada mantan Ketua Polis Negara, Abdul Rahman Mohd Hanif Omar seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today (FMT), semalam.

Abdul Rahman membuat laporan itu berdasarkan kenyataan tidak berasas mantan pemimpin DAP, Tunku Abdul Azizwhatsapp-image-2016-12-09-at-2-45-28-pm yang mengatakan kononnya RBA ditaja oleh DAP melalui sumbangan dana asing.

Lip Eng dalam laporannya turut menggesa supaya Abdul Rahman disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat dakwaan palsu.

Dalam pada itu, Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, polis harus mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didapati membuat laporan palsu dengan niat jahat untuk memfitnah dan memburuk-burukkan.

“Kita tidak mahu kes seperti apa yang terjadi terhadap laporan palsu Timbalan Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berulang lagi, justeru saya gesa supaya polis menyiasat dengan serius laporan palsu ini,” katanya.

Khairul Azwan beberapa bulan lepas membuat laporan polis terhadap mantan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan mantan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Menurut Khairul yang baru mengangkat sumpah sebagai Senator Rabu lepas, ketiga-tiga mereka dicurigai memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi penguatkuasa luar negara termasuk kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Ia berikutan tuduhan kononnya ketiga-tiga individu berkenaan dipercayai terbabit dalam konspirasi menjatuhkan Najib dan kerajaan Malaysia yang sah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun berkata laporan itu berdasarkan ‘andaian’ dan tidak akan menyiasat lanjut. – Roketkini.com