Berita

JKKK Pulau Pinang dapat kenaikan elaun dari kerajaan negeri

GEORGE TOWN, 9 DIS: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan kenaikan elaun pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dan elaun mesyuarat bagi ahli JKKK biasa.

Kenaikan itu melibatkan pertambahan RM50 daripada RM650 kepada RM700 bagi Pengerusi manakala RM550 kepada RM600 bagi Setiausaha melibatkan kos sebanyak RM38,870 kepada RM466,440 setahun.

Bagi ahli JKKK biasa pula, elaun mesyuarat akan ditambah RM10 daripada RM40 sebulan kepada RM50 sebulan melibatkan RM358,800 kepada RM6,857,200 setahun.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, kenaikan elaun JKKK ini merupakan galakkan bagi meningkatkan prestasi perkhidmatan JKKK selain meringankan beban sara hidup yang dihadapi ekoran kegawatan ekonomi.

“Peranan JKKK amat penting sebagai perantara atau penghubung dua hala di antara ADUN kawasan dan Pegawai Kerajaan dengan rakyat.

“JKKK diperlukan sebagai penggerak untuk mengembeling tenaga dan perubahan sikap masyarakat. JKKK juga berperanan sebagai mulut, mata dan telinga bagi Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, kerajaan negeri  juga turut memutuskan syarat penglibatan sekurang-kurangnya seorang wanita dalam setiap JKKK.

“Ia juga merupakan pengiktirafan Kerajaan Negeri ke atas peranan wanita. Justeru, ADUN Kawasan dipohon untuk turut sama menjayakan usaha ini,” katanya. –Roketkini.com