Berita

Orang Asli Gua Musang bangunkan semula blockade di Pos Bihai

GUA MUSANG, 11 DIS:  Pantang undur. Begitulah semangat yang ditunjukkan Orang Asli Temiar di sini membangunkan semula pondok dan blockade yang telah dimusnahkan pihak berkuasa di Pos Bihai.

Pembinaan itu sudah pun bermula tiga hari lalu melibatkan pembinaan sekurang-kurangnya 12 pondok.

Mereka nekad membangunkan semula kawasan itu untuk mengelakkan berlakunya semula pembalakan yang menjejaskan kehidupan mereka.

Pembinaan semula kawasan blockade di sini melibatkan penduduk dari tiga wilayah iaitu Angkek, Depak dan Bihai.

Menurut Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asal Kelantan (JKOAK), Mustafa Along, pembinaan semula itu perlu dilakukan demi mempertahankan saki baki hutan yang ada.

whatsapp-image-2016-12-11-at-12-16-15-pm

“Walaupun blockade dirobohkan, rumah diruntuhkan, kami akan pertahan” – Setiausaha JKOAK, Mustafa Along

“Sekarang rakan-rakan saya sedang membangunkan semula khemah (pondok) untuk tidur. Bila siap semua, kami akan bina blockede,” katanya kepada Roketkini.

Menurutnya, walaupun blockade mungkin akan dirobohkan sekali lagi, hak masyarakat Orang Asli perlu dipelihara.

“Walaupun blockade dirobohkan, rumah diruntuhkan, kami akan pertahan.

“Sebab blockade ini bertujuan memelihara saki baki hutan yang masih ada,” ujarnya.

Beliau menegaskan, komuniti di sini bukan sekadar menuntut hak mereka tetapi juga kepentingan masyarakat di luar.

“Kawasan yang dipertahan ni adalah hulu sungai.

“Jika kawasan di sini dilanda bencana banjir seperti dahulu, ia pasti akan melibatkan bahagian hilir,” katanya.

Ditanya mengenai ancaman dari pembalak kali ini, Mustafa memberitahu perkara itu masih belum berlaku.

“Sebelum ini ada juga pembalak keluar masuk masuk tapi mereka belum keluar apa-apa ugutan atau ancaman,” katanya.

Minggu lalu, Jabatan Perhutanan Kelantan menjalankan operasi meruntuhkan blockade yang didirikan penduduk di sini.

Dalam insiden itu, 54 Orang Asli telah ditahan dan direman dua hari. -Roketkini.com