Rencana

Salahkah Orang Asli ada pendirian sendiri?

Pembebasan seramai 54 Orang Asli dalam dua penahanan di Gua Musang minggu lalu memberi dorongan moral terhadap perjuangan mempertahankan wilayah mereka dari terus gondol akibat pembalakan.

Ia malah menyuntik semangat Orang Asli di sini untuk membina lebih banyak blockade bagi menghalang syarikat balak menjalankan aktiviti pemusnahan hutan tersebut seperti dilapor Malaysiakini baru-baru ini.

Pembebasan itu diikuti Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 7 Disember lalu yang telah membuat keputusan membebaskan tiga Orang Asli dari Gua Musang yang didakwa merusuh melibatkan pekerja balak warga Myanmar tiga tahun lalu.

Perjuangan Orang Asli mempertahankan tanah dan hutan warisan sejak zaman-berzaman itu bagaimanapun dipandang serong oleh sesetengah pihak khususnya PAS Kelantan.

Usaha Orang Asli di sini memperjuangkan hak mereka yang semakin terhakis telah dituduh didalangi ‘orang luar’ kononnya menjadi penghasut kepada tindakan mereka.

Perkara ini semakin jelas apabila Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Nazman Che Iberahim membuat laporan polis terhadap peguam dan aktivis Orang Asli Kelantan, Siti Kasim kononnya menjadi penghasut.

Laporan itu antara lain menuduh bahawa peguam itu menghasut Orang Asli membenci dan menentang kerajaan negeri.

“Tak boleh terima realiti yang Orang Asli ada pendirian dan otak sendiri,” kata Siti di Facebook beliau.

Menurutnya, jika sebagai peguam, menasihati anak guam terhadap hak mereka dan membantu mereka bebas dari tahanan dianggap ‘menghasut’, maka, Pemuda PAS wajar membuat laporan polis terhadap semua peguam yang melakukan perjara yang serupa terhadap anak guam mereka.

Anehnya, laporan polis yang dibuat Ketua Penerangan Pemuda PAS itu turut dihadiri oleh seorang ‘ahli perniagaan’ yang amat dikenali dalam industri pembalakan iaitu Ali Omar.

“Mengapa Nazman, Ketua Penerangan Pemuda PAS beriya-iya sangat pasal isu orang asli dan pembalakan ni sampai nak libatkan saya (juga)?  Buat polis repot sana sini. Adakah sebab ini?” soal Siti dengan memuat nail foto Nazman dan Ali Omar semasa membuat laporan polis.

Elak isu sebenar

Selain Siti Kassim, laporan polis turut dibuat ke atas beberapa aktivis alam sekitar yang lantang menyuarakan pandangan mereka terhadap pemusnahan hutan akibat pembalakan di Gua Musang dengan dakwaan fitnah.

Menurut aktivis Badan Gabungan Aktivis Alam Sekitar Kelantan Malaysia (BUMI) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penaja Royalti Malaysia, Syam Ghaz, tindakan itu semata-mata untuk menutup kelemahan pengendalian kes-kes Orang Asli.

“Pihak saya menafikan bahawa kami telah melakukan fitnah kepada Kerajaan Negeri.

“Kami dari komuniti BUMI membantu orang asli dari segi siasatan kes yang berlaku dalam kawasan Blockade Gua Musang sahaja, untuk kepastian pihak kami dan orang awam,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, laporan polis oleh Pemuda PAS Kelantan itu mempunyai niat serong bagi mengalih perhatian media kepada isu bantahan orang asli terhadap pembalakan khususnya selepas pembebasan 54 Orang Asli yang ditahan sebelum ini.

“Apakah salah Orang Asli hingga mereka diperlakukan sedemikian rupa? Tiada belas ehsan kah PAS Kelantan kepada Rakyat Kelantan? Mereka juga rakyat Kelantan. Janganlah kalut bantu Rohingya saja, hingga rakyat dibawah tanggungan sendiri diabaikan,” katanya.

Syam berkata pihaknya akan merujuk perkara tersebut kepada peguamnya bagi tindakan undang-undang. -Roketkini.com