Berita

Pakatan Harapan mesti terus perjelas masalah ekonomi kepada rakyat

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Parti Amanah Negara (Amanah) menzahirkan komitmen untuk berjuang bersama rakyat bagi menyelamatkan negara yang terbeban dengan pelbagai masalah di bawah pemerintahan UMNO Barisan Nasional.

Penasihat Jawatankuasa Road Map Pilihan Raya Amanah, Datuk Husam Musa berkata, ia akan dilaksanakan bersama parti-parti komponen Pakatan Harapan yang lain, iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, rakyat perlu diberi informasi jelas berhubung bahaya tsunami ekonomi yang melanda negara pada hari ini.

Tambahan lagi kata Husam, parti pemerintah cuba ‘menutup’ masalah ekonomi dengan memainkan sentimen perkauman di kalangan rakyat bagi memastikan kemenangan mereka dalam pilihan raya akan datang.

“Kalau bencana ribut, tsunami, gempa bumi ada indikator, fenomena kejatuhan ekonomi tidak terkecuali.

“Ketika rakyat kesempitan angkara GST, peningkatan hutang domestik dan asing, mereka mengapikan-apikan perpecahan rakyat menggunakan isu-isu rasis,” ujarnya dalam ucapan penangguhan di Konvensyen Nasional Amanah di Shah Alam, semalam.

Menurutnya, PAS juga merupakan salah satu pihak yang telah terperangkap dalam permainan politik UMNO Barisan Nasional.

“Mereka kini telah berada dalam jerat UMNO dan sudah tidak ada jalan keluar, melainkan terpaksa buat apa saja bagi menyelamatkan UMNO yang semakin nazak,” kata Husam.

Jelasnya, PAS di Kelantan telah menjadi pemimpin ‘dewa’ yang tidak sanggup mencemar duli untuk datang ke kampung Orang Asli bagi mendengar masalah komuniti tersebut.

“Dari menara ‘dewa’ mereka melabel dan menghina Orang Asli yang kini tersepit dalam berdepan kezaliman akibat aktiviti pembalakan dan ladang hutan tebang habis.

“Ramai termasuk ‘pemimpin dewa’ tak tahu pun apa itu tebang habis.

“Cara ini menyebabkan kemusnahan hutan total yang menjadikan Orang Asli yang dulunya bergantung rezeki dan bekalan air dari hutan segar, hilang segala-galanya,” keluhnya, kesal. – Roketkini.com