Rencana

Kandungan Perjanjian Kerjasama Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia

PERJANJIAN ini adalah di antara:

Pakatan Harapan yang diwakili oleh:

Parti Keadilan Rakyat atau KEADILAN yang diwakili oleh Presidennya Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail;

Parti Tindakan Demokratik atau DAP yang diwakili oleh Setiausaha Agungnya Saudara Lim Guan Eng; dan

Parti Amanah Negara atau AMANAH yang diwakili oleh Presidennya Haji Mohamad Sabu

Bersama

Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau PPBM yang diwakili oleh Presidennya Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Hj Mohd Yassin

Dengan ini memeterai satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Kerjasama Pakatan Harapan – PPBM mengenai persetujuan-persetujuan bersama oleh keempat-empat parti di dalam perkara-perkara seperti yang terkandung dalam dokumen ini.

Mewakili PAKATAN HARAPAN dan PPBM kami berjanji bahawa persetujuan-persetujuan ini akan dihormati, didokong dan dilaksanakan bersama oleh parti-parti kami selagi perjanjian ini berkuatkuasa dan persetujuan-persetujuan di dalamnya adalah mengikat keempat-empat parti.

PERJANJIAN

BAHAWASANYA Pakatan Harapan (yang terdiri daripada KEADILAN, DAP dan AMANAH); dan PPBM dengan ini bersetuju dan komited akan perkara-perkara berikut:

1. Berjuang dengan berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/63 terutamanya:

i. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas, aman dan damai di di negara ini sejajar dengan Perkara 3; serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153;

ii. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan; dan

iii. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan dan pembelajaran bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.

2. Memperjuangkan Agenda Reformasi dalam kebangunan-semula negara demi rakyat dengan berpaksikan nilai-nilai yang dikongsi bersama, termasuk kebenaran, keadilan, kebebasan, integriti, kebajikan dan tatakelola yang baik.

3. Meletakkan satu calon sahaja untuk mewakili Pakatan Harapan – PPBM di dalam sesuatu pilihanraya di mana-mana peringkat setelah pembahagian kerusi ditentukan melalui perundingan di antara kedua pihak berdasarkan prinsip kebolehmenangan (winnability).

4. Berunding dengan parti yang belum berada di dalam perjanjian ini untuk memastikan seboleh mungkin satu calon sahaja yang akan mewakili pembangkang bagi melawan Barisan Nasional.

5. Mewujudkan gabungan parti-parti politik pembangkang sebelum Pilihanraya Umum ke 14 dengan tujuan untuk membentuk kerajaan selepas pilihanraya.

6. Mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Bersama untuk membincangkan pembahagian kerusi pilihanraya, manifesto dan logo bersama dan merangka gerakerja Pilihanraya Umum ke 14.

7. Atas semangat setiakawan dan kerjasama, parti-parti dalam rangka perjanjian ini hendaklah memelihara hubungan baik antara satu sama lain dan menyelesaikan pertikaian menerusi perundingan bersama.

*Perjanjian Kerjasama Pakatan Harapan – PPBM ditandatangani pada 13 Disember 2016 bersamaan 13 Rabi’ul Awwal 1438 Hijrah di Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.