Rencana

DAP dan Bahasa Kebangsaan

Persidangan Kebangsaan DAP menyambut ulang tahun ke-50 telah dikecam. Sebabnya, pengumuman oleh Setiausaha Organisasi, Anthony Loke, bahawa parti telah membelanjakan sebanyak RM20,000 bagi 100 unit alat untuk menterjemah dari Bahasa Malaysia ke Mandarin dan Tamil.

Politikus dan “troll” Internet sekalian mengecam dan mengejek. Kata mereka, inilah wajah sebenar DAP (baca: Cina). Memegang kad pengenalan Malaysia tetapi tidak tahu Bahasa Malaysia. Bangla (panggilan tak sopan) yang hanya duduk sini 6 bulan saja sudah boleh bercakap Melayu. Malu! Baik balik China saja lah.

Sebenarnya, “Bangla” ini boleh berbahasa apa sahaja yang menjadi bahasa pengantar di tempat mereka bekerja. Mereka terpaksa, kerana mereka tidak mempunyai hak atau layanan istimewa.

Sebenarnya, daripada 100 unit alat tersebut yang disediakan, kurang daripada 20 orang perwakilan yang menggunakannya.

Namun sebenarnya kelemahan berbahasa ini salah siapa? Kegagalan asimilasi dan perpaduan kaum untuk saling memahami antara satu sama lain ini salah siapa? Parti pembangkang yang tidak pernah memegang Putrajaya, atau parti pemerintah yang telah berkuasa merangka dasar-dasar sejak merdeka?

Ini mungkin persepsi bawah sedar pihak-pihak tertentu tentang orang Cina. Hakikatnya, ramai yang masih lemah penguasaan Bahasa Kebangsaan mereka, termasuklah anak-anak yang tinggal di estet, masyarakat peribumi yang tinggal di Kelantan, dan juga suku-suku kaum di Sabah dan Sarawak.

Jangan kita senang mengata orang lain lemah Bahasa Malaysia sebab hanya bercampur gaul dengan dan dalam komuniti sendiri sahaja. Padahal kita juga melakukan yang sama. Bezanya, kita kaum majoriti yang berkuasa. Kuasa kita yang menghalalkan kita dan pandangan kita.

Sekolah vernakular menjadi punca?

Tidak sedikit juga yang cuba mengenalpasti punca masalah lemah bahasa. Ramai yang membuat kesimpulan bahawa sekolah-sekolah Cinalah yang bermasalah. Sebab tidak wujudnya satu sistem pendidikan negara yang alirannya hanya satu sahaja, maka rakyat negara ini tidak dapat memahami antara mereka, lalu berpecahlah mereka.

Tahukah mereka, sekolah-sekolah Cina ini sebenarnya mempunyai komposisi pelajar yang lebih nyata ke’Malaysiaan’nya? Ya, ini data daripada kerajaan.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), pendaftaran bukan Cina di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina telah meningkat kepada 12 peratus – dan semakin meningkat. Malah, ada sekolah Cina dengan jumlah pendaftaran bukan Cina yang sangat besar. Satu contoh ialah SJKC Tiong Hua Kok Bin di Klang, yang mempunyai kira-kira 45 peratus pelajar bukan Cina.

Ini secara langsung bermakna sekolah-sekolah Cina hari ini lebih berciri pelbagai kaum berbanding sekolah kebangsaan.

Malah, kajian dua tahun Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, yang terdiri daripada 13 anggota majlis pendidik, tokoh korporat dan bekas pegawai Jabatan Pendidikan peringkat tertinggi, mendedahkan bahawa sekolah aliran Cina berupaya menjadi sekolah arus perdana menggantikan sekolah kebangsaan dalam masa 10 tahun akan datang.

Mengapa ibu bapa Bumiputera ini menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina? Sebagai ibu bapa, kita hanya nak pendidikan yang terbaik untuk anak-anak kita. Kalau guru-guru di sekolah itu bagus dan pendidikannya bermutu tinggi, bahasa Perancis atau Mongolia pun jadi.

Telitilah sistem pendidikan negara kita. Apa kedudukan kita dalam ranking antarabangsa? Jangan kata yang lain, bahasa pengajaran untuk Sains dan Matematik pun kita tidak dapat tetapkan. Jangan lupa, pak menteri sendiri pun tidak yakin dengan sistem pendidikan negara ini. Anak-anak pak menteri pun tidak belajar di sekolah-sekolah kebangsaan?

Takkanlah demi memaksa orang untuk belajar di sekolah kebangsaan, kita mahu memansuhkan sekolah-sekolah vernakular yang berkualiti dan mendapat tempat dalam hati ibu bapa?

Masalah sistem

Memang menjadi masalah terdapat segelintir masyarakat kita yang tidak boleh berbahasa Malaysia. Yang juga menjadi masalah, mereka yang ingat ini salah DAP dan sekolah aliran Cina, dan tidak melihat masalah ini sebagai masalah sistem.

Menyediakan alat terjemah itu merupakan usaha DAP untuk menjadi inklusif. Inklusif ini bermaksud, semua orang dijaga hak mereka untuk menyertai. Mereka yang lemah berbahasa Malaysia itu, rakyat Malaysia juga. Mereka membayar cukai kepada negara. Mereka ini juga ahli DAP. Oleh itu, mereka berhak untuk mengikut perbahasan, biarpun penguasaan Bahasa Kebangsaan mereka lemah.

Adakah mereka yang tak fasih Bahasa Kebangsaan, tidak boleh terlibat dalam perjuangan? Adakah DAP perlu menolak ahli yang tidak fasih Bahasa Melayu?

Sekiranya kita biasa pergi ke warung dan kopitiam, tidak mustahil akan terjumpa orang-orang tua bersembang dalam bahasa-bahasa lain: pak cik Cina bertutur dalam bahasa Tamil, pak cik Melayu dalam dialek Hokkien, pak cik India dalam dialek Kantonis.

Pencarian di Youtube turut mendapat hasil yang sama, jumpa video pak cik Melayu cakap Tamil dan pak cik Cina cakap Melayu dalam loghat Kelantan.

Mereka menerima kemajmukan sebagai kebiasaan dan kekuatan; awak pula menuduh ia sebagai perpecahan. Mereka mempelajari semua bahasa; awak pula berjuang untuk bahasa awak sahaja. Puji ‘Bangla’ pandai Melayu walaupun baru enam bulan menetap di Malaysia memang mudah. Awak yang bertahun-tahun tinggal di Malaysia, kenapa tak fasih bercakap bahasa jiran tetangga yang tidak berketurunan sama?

Ini baru bab bahasa. Nanti adalah mereka yang kata agama ini bangsa dia punya. – Roketkini.com