Berita

‘Kalau PAS jual mahal, kita tak perlu dia’ – Datuk Mohd Ariff Sabri

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Perjanjian kerjasama Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ditandatangani semalam tanpa melibatkan PAS menandakan pakatan pembangkang negara ini tidak meletakkan harapan besar terhadap parti itu.

“Kita buat perjanjian dengan PPBM tanpa adanya PAS menandakan kita tidak letak harapan besar kepada PAS,” kata Ahli Parlimen Raub Datuk Mohd Ariff Sabri kepada Roketkini.

Menurutnya tindakan pemimpin-pemimpin PAS sebelum ini mengeluarkan kenyataan tidak mahu bekerjasama dengan PH jelas menunjukkan pendirian mereka.

Tambahan pula, PAS meletakkan syarat bahawa parti itu hanya akan bekerjasama dengan PH tanpa kehadiran DAP dan Amanah dalam muafakat pembangkang.

“Kalau PAS jual mahal, kita tak perlu dia.

“Jika PAS ada kejujuran untuk melawan BN, dia tidak akan meletakkan syarat macam tu,” jelas Ariff.

Beliau menegaskan tunjang utama permuafakatan PH adalah untuk menjatuhkan kerajaan UMNO yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pilihanraya akan datang.

Apabila PAS tidak bersama PH, ia secara tidak langsung memberi isyarat kepada rakyat bahawa parti itu menyokong UMNO dan kepimpinan Najib Razak yang terpalit skandal mega 1MDB.

“Dalam keadaan sekarang, kedudukan PAS boleh membantu UMNO walaupun dia kata mustahil untuk bersama UMNO.

“Dengan tidak bersama pakatan, secara tak langsung beri isyarat kepada rakyat dia menyokong UMNO. Rakyat dapat lihat itu,” katanya. – Roketkini.com