Rencana

Tiba masanya Pakatan Harapan tentukan garis politik yang jelas

Saya masih kekal dengan pandangan sebelum ini yang berpendirian bahawa risiko berlakunya tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang akan datang antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional (BN) dan PAS khususnya di negeri Johor amat sukar untuk dielakkan.

Ini berasaskan kenyataan terbaru Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri bahawa PAS bersedia mempertimbangkan pertandingan tiga penjuru pada PRU-14 sekiranya ia memberi keuntungan kepada parti Islam itu.

Sebelum ini, daripada laporan berita pada 30 september lalu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad membuat satu kenyataan yang sangat berbeza apabila menyatakan bahawa penyertaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam blok pembangkang mampu menjadi pengantara untuk mengelak perlawanan tiga penjuru dengan BN pada PRU akan datang.

Kenyataan para pemimpin PAS yang tidak konsisten inilah yang menjadi asas pandangan saya bahawa pertandingan tiga penjuru sukar untuk dielakkan lagi.

Dalam konteks politik di Johor, saya tidak fikir PAS mampu meraih sokongan yang lebih pada PRU-14 yang akan datang. Saya bukan Nujum Pak Belalang atau Nostradamus, tetapi sikap PAS berdasarkan kenyataan-kenyataan pemimpin mereka sendiri yang memberikan gambaran itu.

Gambaran yang tidak konsisten ini adalah natijah keterdesakan PAS yang ingin mengekalkan pengaruhnya yang semakin hilang selepas era Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz.

Walaupun ada yang mengatakan keadaan PAS hari ini kerana ada tarikan kebendaan (material) atau jawatan yang ditawarkan oleh Najib, itu hal yang lain. Tetapi yang nyata, PAS berubah hari ini setelah Tuan Guru tiada lagi.

Dalam konteks politik nasional, imej dan pengaruh PAS betul-betul bergantung dengan ketokohan, ketegasan dan kezuhudan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz, bukan kerana Haji Hadi.

Kerana itu hari ini kita dapat melihat begitu terdesaknya Haji Hadi menjalin hubungan politik dengan Najib Tun Razak, samada untuk dilihat masih berpengaruh atau lebih berpengaruh daripada Allahyarham Tok Guru.

Pengaruh Haji Hadi dalam konteks politik di Johor pula, saya tidak mahu katalah, nanti bunyinya menghina pula.

Di Johor, kesemua kerusi yang dimenangi PAS iaitu di Parit Yaani, Maharani, Sungai Abong dan Puteri Wangsa hanyalah dalam nisbah yang sangat marginal iaitu kurang daripada empat ribu undi.

Dengan majoriti yang sangat marginal ini, ditambah lagi dengan politik caca-marba PAS, apakah yang diharapkan oleh kumpulan pembangkang? Soal Haji Hadi atau pemimpin PAS merasakan mereka masih kuat, itu hal mereka, itu bukan agenda rakyat.

Kumpulan pembangkang hari ini bergerak atas agenda rakyat, bukan agenda PAS. Jadi mengapa pembangkang begitu bimbang dengan PAS yang tidak lagi mementingkan agenda dan masalah rakyat.

UMNO menggunakan sentimen agama dan kaum sama ada untuk memancing atau mengugut PAS. Kemudian PAS pula mengugut Pakatan Pembangkang untuk bertanding tiga penjuru. Ini sifir yang semua kita telah patut tahu. Jadi mengapa pembangkang terus membiarkan diri termakan ugutan PAS ini.

Untuk mengelak dari berlakunya tiga penjuru, kerana dengan tiga penjuru berkemungkinan besar BN-lah yang akan menang. Ya, betul, BN yang menang, dan bukan PAS. Jadi isunya sekarang adalah melawan BN, bukan PAS.

Jika kerana PAS menyebabkan BN menang, mengapa kita tidak lawan mereka semua dalam pilihanraya?

Saya tidak mampu untuk mengatakan bahawa pertembungan tiga penjuru itu baik bagi pembangkang dan pertandingan satu lawan satu itu pula tidak baik, tidak. Saya bukan mahu menentang arus tanggapan umum.

Tetapi dalam keadaan PAS sendiri yang sudah hilang pengaruh, apa lagi yang menghalang pembangkang untuk mengambil satu garis politik yang jelas dan berani?

Tanpa garis politik yang jelas, tanpa satu logo yang jelas, tanpa agenda rakyat yang jelas, jangan katakan PAS, semua parti pembangkang yang lain akan turut hanyut ditelan Najib Tun Razak.

Jangan lupa juga, kerusi-kerusi marginal DAP, PKR hatta kerusi PAS sekalipun, hari ini sangat berisiko tinggi untuk tewas apabila persempadanan semula diluluskan kelak. Soal PAS sedar atau tidak, itu hal mereka.

Dengan sikap PAS hari ini, pembangkang harus menjarakkan diri dengan mereka, pembangkang mesti meneruskan agenda membela rakyat. Garis politik yang jelas mesti dilukis pada hari ini. – Roketkini.com

*Mahdzir Ibrahim ialah Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Johor