Berita

Janji elektrik BN kepada penduduk luar bandar hanya untuk pancing undi

PENSIANGAN, 21 DIS: Dua pilihan raya umum (PRU) sudah berlalu, namun bekalan elektrik yang dijanjikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak 10 tahun yang lalu masih tidak kelihatan.

Empat kampung di Mukim Lanas dan lima kampung di Mukim Dalit yang terletak di daerah Sook dekat sini terpaksa bergelap meskipun Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup mendakwa kononnya kawasan terbabit telah diliputi dengan bekalan elektrik

DAP Pensiangan dalam lawatannya ke kampung-kampung berkenaan mendapati rata-rata penduduk kecewa dengan tindakan BN yang didakwa seolah-olah mempermainkan mereka dalam isu tersebut.

Pengerusi DAP Pensiangan, Adrian Banie Lasimbang berkata, dakwaan itu timbul berikutan projek sambungan elektrik yang dilakukan pihak kontraktor pada 2007 iaitu sebelum PRU Ke-12 terhenti secara tiba-tiba selepas pilihan raya tamat.

“Semasa kempen pilihan raya dijalankan, BN menjanjikan bahawa projek berkenaan akan disiapkan dalam masa terdekat, namun apabila pilihan raya tamat, kontraktor pun tidak kelihatan.

“Kemudian, pada 2012 sebelum PRU Ke-13, kontraktor berkenaan datang semula dan mula memasang kabel dan transformer, perkara sama juga yang berlaku sebaik sahaja pilihan raya tamat, projek itu ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adrian berkata, layanan kerajaan pemerintah terhadap penduduk di kampung pedalaman berkenaan membuktikan bahawa BN mengunakan helah projek bekalan elektrik terbabit untuk ‘memeras ugut’ mereka bagi meraih undi.

“Penduduk kampung memberitahu kami bahawa calon BN ada menyatakan dalam kempennya sekiranya mereka mengundi BN, akan ada elektrik (yang kerajaan akan sediakan),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Protem DAP Sook, Clare Simbat Taunek mahu projek berkenaan diaudit oleh Ketua Audit Negara dan pihak yang terlibat disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bagaimana projek yang dikendalikan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan? Adakah kontraktor tersebut dikenakan tindakan atas kelewatan berkenaan? Ia harus disiasat,” tegas Clare.

Sabah Electric Sdn Bhd (SESB) kontraktor yang mengerjakan pembinaan awal infrastruktur elektrik di kawasan berkenaan mendakwa KKLW masih belum sepenuhnya menyerahkan projek tersebut kepada mereka.

Untuk rekod, KKLW telah mengeluarkan dana berbilion ringgit bagi projek seumpama itu melalui agensinya, Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dalam dua pelan Rancangan Malaysia sebelum ini.

“Tapi apa yang rakyat dapat hasil daripada perbelanjaan besar kerajaan ini? Selepas skandal Air Sabah di bawah Bekalan Air Luar Bandar (BALB) ini adalah bukti jelas urus tadbir kerajaan yang buruk oleh kerajaan BN dalam projek pembangunan luar bandar,” ujar Adrian. – Roketkini.com