Rencana

Tiba masanya untuk dasar PTPTN yang lebih progresif

*Rencana ini disiarkan pertama kali di laman web The Rocket

Isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) telah lama dibahaskan, seolah-olah ia tiada kesudahan. Dengan tunggakan lebih daripada RM5.4 bilion oleh 662,000 peminjam, kemampanan pinjaman PTPTN semakin dipersoal.

PTPTN – sebuah agensi kerajaan yang bermula pada November 1997, ditubuhkan bagi menyediakan pinjaman kepada pelajar-pelajar institut pengajian tinggi di Malaysia. Namun, pembayaran balik pinjaman tersebut kini menjadi satu masalah serius.

Sehingga Disember 2015, PTPTN hanya mampu mengutip RM8 bilion, jauh lebih sedikit dari sasarannya iaitu RM15 bilion daripada RM56 bilion yang telah dipinjamkan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Mary Yap seperti dilaporkan berkata, 97 peratus peminjam yang bergelar graduan lebih dua tahun lalu telah disenarai hitam oleh Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) kerana gagal membayar pinjaman – sebuah langkah yang dilaksanakan kerajaan untuk memaksa graduan membayar kembali pinjaman pendidikan mereka.

“Sekitar 730,000 peminjam menamatkan pengajian antara tahun 2014 hingga 2016. Bagaimanapun, 701,895 daripada mereka kini disenarai hitam oleh CCRIS,” katanya.

Walaupun diasak dengan ancaman CCRIS, ramai graduan masih tidak memenuhi tuntutan pembayaran balik bulanan mereka, dan ini memberi satu petanda yang tidak baik mengenai kelestarian dana itu yang sepatutnya membuka peluang kepada berjuta-juta anak muda Malaysia lain untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Setelah mendapati cara hukuman tidak berhasil, kerajaan kemudiannya menukar rentak dengan memberi ganjaran pula kepada peminjam.

Dalam Belanjawan 2017, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meningkatkan jumlah diskaun untuk graduan yang membayar pinjaman lebih awal, sebuah langkah bagi menggalakkan pembayaran semula. Malah, graduan kelas pertama dikecualikan dari membayar kembali pinjaman tersebut.

Namun, insentif berupa diskaun dan pengecualian itu didapati bukanlah jalan terbaik bagi PTPTN untuk mendapatkan wang mereka kembali.

Pengecualian, diskaun, bukanlah jalan terbaik

Di sebuah forum di ibu kota anjuran Penang Institute, Pengurus Besarnya Dr, Ong Kian Ming berkata antara keluh-kesah yang diutarakan peminjam yang gagal membayar kembali pinjaman adalah gaji rendah, kenaikan kos sara hidup serta prosedur rumit yang dikenakan oleh PTPTN.

Forum itu diadakan bagi membincangkan penemuan dari kertas kajian bertajuk “Kemampanan skim pinjaman PTPTN.”

Ujar Dr. Ong, menawarkan diskaun untuk peminjam yang membayar balik awal secara asasnya menguntungkan graduan yang berasal dari keluarga berpendapatan tinggi.

“Pada pendapat saya, langkah mengecualikan graduan kelas pertama dari membayar kembali pinjaman mereka adalah penghalang utama untuk PTPTN mengekalkan kestabilan kewangannya,” jelasnya.

Malah, menurut pemerhatian beliau, graduan kelas pertama biasanya memperoleh gaji permulaan yang lebih tinggi.

Oleh itu, ia dilihat tidak dapat membantu pihak yang tidak mampu membayar kembali pinjaman tersebut.

Dr. Ong turut menegaskan bahawa PTPTN telah membelanjakan RM360.7 juta untuk diskaun bayaran awal dari tahun 2012 hingga 2015.

“Bagi saya, ia bukanlah satu dasar yang progresif, merujuk kepada masalah pembiayaan PTPTN dan kerugian yang diperolehnya dari tahun ke tahun,” katanya.

Malah, Ahli Parlimen Serdang itu menambah, menghentikan insentif diskaun dan pengecualian yang ada mungkin salah satu cara untuk menangani masalah kegagalan pembayaran balik di kalangan graduan.

“Jika dilihat kembali, kajian dari negara-negara lain menunjukkan bahawa pelajar dari kumpulan berpendapatan tinggi lebih cenderung menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama,” katanya.

Laporan dengan 44 muka surat itu turut menyebut tentang beberapa kertas kajian yang membuktikan bahawa pelajar dari kelas pertengahan dan tinggi lebih cenderung menjadi pelajar yang memperoleh kelulusan kelas pertama, tidak kira di universiti awam atau swasta.

Tambahan pula, wujud pelbagai kajian lain yang mengaitkan prestasi pelajar di universiti dengan status sosio-ekonomi mereka.

Menurut Dr. Ong, tidak hairanlah jika ramai belia tidak mampu membayar kembali pinjaman memandangkan mereka sedang bergelut dengan kepayahan akibat kos sara hidup yang semakin meninggi.

Sebelum ini, didapati wujud sekitar 400,000 penganggur di negara ini, dengan 161,000 graduan atau 8.8 peratus darinya berumur antara 20 hingga 24 tahun.

Mengatur kembali strategi untuk skim bayaran balik

Kerajaan perlu mengatur kembali pelan bagi memastikan golongan pelajar mampu membayar semula pinjaman mereka. Satu cara untuk menangani dilema ini, kata Dr. Ong, adalah dengan memperkenalkan Kadar Minimum Pendapatan Untuk Pembayaran Semula.

“Skim bayaran balik yang lebih fleksibel perlu digunakan seperti skim bayaran mengikut pendapatan,” ujarnya.

Beliau berkata, peminjam yang berpendapatan di bawah RM3,500 harus diberi pelepasan sementara daripada bayaran balik sehingga mencapai kadar pendapatan minimum.

Skim itu akan mengurangkan tempoh bayaran balik memandangkan peminjam harus membayar lebih selaras dengan perkembangan kerjaya mereka.

Beliau juga mencadangkan sebuah sistem potongan gaji bulanan secara automatik yang serupa dengan sistem dilaksanakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja pada hari ini.

Saranan tersebut adalah sebahagian dari butiran penting dalam kertas kajian untuk meningkatkan kemampanan PTPTN

Antara cadangan lain dalam laporan tersebut adalah keperluan mengadakan kaji selidik dengan peminjam PTPTN untuk mengetahui sebab utama kadar bayaran balik yang begitu rendah di kalangan mereka.

Kaji selidik berkenaan mampu memperoleh data mengenai corak kewangan graduan baru, seperti pengagihan gaji permulaan, jenis pekerjaan mengikut kelayakan, obligasi pinjaman selain PTPTN, perbelanjaan harian dan bulanan termasuk sewa serta lain-lain.

“Kaji selidik yang dibuat oleh PTPTN pada tahun 2015 hanya melibatkan 200 responden dan ia tidak termasuk data-data penting seperti gaji permulaan, jenis kursus dan jenis institusi pengajian,” ujar laporan itu.

Satu lagi cadangan yang penting adalah ujian min berhubung pinjaman PTPTN.

Buat masa ini, jumlah wang yang boleh dipinjam oleh seseorang pelajar bergantung kepada pendapatan keluarganya.

Pelajar dengan ibu bapa yang berpendapatan RM20,000 sebulan masih layak meminjam seperti mana pelajar dengan ibu bapa berpendapatan RM2,000 sebulan. Oleh itu, laporan berkenaan mencadangkan agar sebuah kadar diwujudkan bagi mengehadkan bilangan peminjam mengikut pendapatan keluarganya.

Kertas kajian itu juga menyarankan supaya sebahagian beban pinjaman pelajar dialihkan ke sektor swasta, di mana kerajaan boleh menyediakan jaminan pinjaman seperti yang dilaksanakan di bawah Skim Rumah Pertamaku.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, sektor pengajian tinggi juga perlu menjalani pembaharuan. Sebagai contoh, kerajaan sedar tentang perkembangan pesat bilangan pelajar di institusi-institusi pengajian tinggi di negara ini, namun tidak menyediakan sebarang penyelesaian tentang bagaimana para pelajar ini mahu membiayai pengajian mereka, atau mengenai permintaan pinjaman PTPTN yang meningkat.

Usaha untuk menangani masalah asas PTPTN perlu menggabungkan kajian asas tentang Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara yang sedang dilaksanakan pada hari ini, termasuk memeriksa semula keseimbangan antara pelajar IPTA dan IPTS, model pembiayaan mereka dan menilai kualiti institusi-institusi pendidikan sedia ada.

Jelas sekali masalah yang melanda skim pinjaman PTPTN adalah bom jangka yang terus berdetik, serta memerlukan pendekatan yang serius dan komited dalam menyelesaikannya. – Roketkini.com