Berita

Kutip cukai daripada syarikat korporat, bukan pertubuhan agama

KOTA KINABALU, 3 JAN: Daripada mengenakan cukai ke atas pertubuhan agama di negara ini, lebih baik kerajaan mengenakan cukai terhadap syarikat-syarikat korporat dalam bidang perkapalan yang menjana keuntungan sekitar RM1.2 bilion setahun.

Penasihat DAP Sabah, Jimmy Wong berkata syarikat-syarikat korporat yang bermotifkan keuntungan itu telah dikecualikan cukai untuk lebih 30 tahun sehingga ke hari ini.

“Jadi kenapa kerajaan mahu mengenakan cukai terhadap badan-badan agama tetapi melepaskan syarikat korporat yang menjalankan perniagaan berskala besar dengan membuat keuntungan besar?” soalnya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu menambah, ia berbeza dengan pertubuhan-pertubuhan agama yang mendapat bantuan amat sedikit serta terpaksa mencari alternatif sendiri bagi menampung dana untuk aktiviti dan program mereka.

Jimmy berkata, sebarang dakwaan mengenai wujudnya pertubuhan yang mengaut keuntungan dan memberi elaun tinggi kepada ahli-ahli jawatankuasa perlulah disiasat dan dibuktikan terlebih dahulu.

“Jika dakwaan itu benar, ia perlu dihentikan tetapi bukanlah dengan mengenakan cukai,” tegasnya.

Tindakan kerajaan mahu mengenakan cukai pendapatan terhadap badan-badan agama baru-baru ini mendapat reaksi negatif dari pihak terlibat.

Rata-rata menganggap cukai tersebut akan memberi kesan ke atas operasi dan menjejaskan aktiviti pengurusan.

Luahan dan rungutan di portal-portal berita sebelum ini dibuat oleh pelbagai badan agama, termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Majlis Gereja-gereja Sabah (SCC) dan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM). – Roketkini.com