Berita

BN Sarawak diminta tidak ‘main wayang’ selesai isu Tanah Hak Adat Bumiputera

BETONG, 4 JAN: Kerajaan BN Sarawak diminta tidak bersandiwara dan digesa untuk menyelesaikan segera semua isu pertikaian Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) negeri itu tanpa mengorbankan kepentingan rakyat.

Pertikaian berpanjangan isu tersebut kata Pengerusi DAP Betong, Gerald Roger Anding, telah menyebabkan semakin banyak tanah adat yang diwarisi sejak turun-temurun ‘diceroboh’ pihak luar khususnya syarikat-syarikat swasta.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada keputusan kes Rumah Sandah di Kanowit yang mana Mahkamah Persekutuan menetapkan bahawa ‘pemakai menoa’ (wilayah tanah adat) dan ‘pulau galau’ (kawasan perolehan hasil hutan) tidak termaktub dalam undang-undang negeri.

Keputusan mahkamah itu menyebabkan responden gagal mempertahankan tanah hak adat mereka.

Menurutnya, banyak kes tanah adat seolah-olah sengaja dilengah-lengahkan dan apa yang menyedihkan, kerajaan BN Sarawak tidak memiliki keazaman politik yang kuat untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Mereka (pemimpin BN) sedar bahawa kes melibatkan tanah-tanah NCR seperti ini telah lama berlaku tetapi tidak seorang pun ingin bertanggungjawab menyelesaikannya secara serius.

“Tanah beratus-ratus ribu ekar diberi kepada syarikat kroni tetapi tidak kepada rakyat,” katanya kepada Roketkini.

Kata Setiausaha Politik Pengerusi DAP Sarawak itu, pemimpin BN lebih gemar bermain retorik dengan membuat kenyataan akhbar kononnya membela nasib masyarakat Dayak.

Hakikatnya, mereka itu lebih selesa mengelakkan diri daripada terlibat mahupun memberikan sokongan apabila berlaku sesuatu kes berkaitan tanah NCR.

“Apabila keadaan sebegini berlaku, rakyat mula bosan dan lebih senang meminta bantuan daripada pembangkang.

“Adenan (Ketua Menteri Sarawak) tidak harus melatah menuding jari kepada pembangkang kerana selama ini pihak kerajaan tidak serius membantu masyarakat yang teraniaya ini.

“Beliau ada mata, ada telinga, ada mulut dan ada hati tetapi seolah-olah buta, pekak dan bisu membela nasib rakyat,” tegasnya.

Justeru, satu kata putus yang adil harus diberikan kerajaan Sarawak dan ia harus mengambil kira kepentingan keseluruhan masyarakat Dayak yang memiliki tanah adat.

“Kita tidak mahu perkara yang menyedihkan berulang lagi, seperti kes pembunuhan Bill Kayong yang mempertahankan tanah adat Dayak.” katanya

“Keputusan ini nanti juga akan menjadi satu ukuran samada BN dan Adenan benar benar ikhlas ingin mempertahankan hak orang Sarawak ataupun ia sekadar satu helah untuk menenangkan hati buat sementara waktu,” kata beliau. -Roketkini.com