Berita

‘Cari formula satu lawan satu tumbangkan BN’ – Pakatan Harapan Sabah

KOTA KINABALU, 4 JAN: Pakatan Harapan (PH) Sabah yang bakal dilancarkan 8 Januari hadapan akan memberi tumpuan kepada rundingan pembahagian kerusi bagi memastikan satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Pelancaran itu antara lain akan menyaksikan majlis menandatangani Deklarasi Pakatan Harapan Sabah berhubung kerjasama politik rakan-rakan komponen selaras dengan keperluan dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah.

Majlis bersejarah yang akan berlangsung di Dewan Hakka di sini akan turut dihadiri Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Pengumuman tersebut dibuat dalam satu sidang media pemimpin Pakatan Harapan Sabah baru-baru ini.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt berkata, deklarasi yang bakal ditandatangani tersebut merupakan persetujuan untuk melakukan rundingan segera membincangkan pembahagian kerusi.

“Kita akan pastikan pertandingan satu lawan satu dalam pilihanraya akan datang.

“Kita berharap boleh membuat satu formula pada pilihanraya akan datang bagi menumbangkan UMNO-Barisan Nasional (BN)”, katanya.

Selain parti komponen PH, Ahli Parlimen Sandakan itu berkata, parti-parti pembangkang lain turut dijemput menghadiri majlis tersebut.

“Kami juga telah menghantar jemputan kepada semua parti pembangkang tidak kira sama ada parti nasional mahu pun parti tempatan untuk hadiri majlis pelancaran ini. Kami harap mereka akan terima jemputan ini,” ujarnya.

Hadir sama dalam sidang media bersama itu ialah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR, Christina Liew, Pengerusi Amanah Sabah, Hamzah Abdullah dan ahli jawatankuasa negeri komponen parti PH Sabah.

Menurut Christina, pelancaran PH Sabah 8 Januari ini akan pelancaran ini akan menampilkan agenda Pakatan Harapan dan jentera pilihan raya Pakatan Harapan negeri sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi AMANAH Sabah, Hamzah Abdullah, pula berharap Pakatan Harapan Sabah mampu bekerja berlandaskan perjanjian yang disetujui bersama dalam Deklarasi Pakatan Harapan Sabah.

“Kita di sini untuk rakyat. Kita bukan di sini untuk kepentingan peribadi. Pakatan Harapan adalah kesinambungan bagi Pakatan Rakyat yang dahulu.

“Kami telah membuktikan bahawa kami bertekad untuk menjatuhkan BN dan satu cara sahaja untuk menumbang Umno-BN iaitu dengan kesepakatan parti-parti pembangkang” tegasnya memetik laporan MalaysiaDateline.

Majlis Pelancaran Pakatan Harapan Sabah 8 Januari ini dijadualkan bermula pada jam 10 pagi hingga 12 tengahari. –Roketkini.com