Berita

DAP dan Amanah Kluang perkukuh jentera akar umbi hadapi pilihan raya umum

KLUANG, 4 DIS: Pemerkasaan jentera Pakatan Harapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mesti dibuat secara menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi.

Justeru, Parti Amanah Negara (Amanah) telah mengadakan kunjungan mesra ke Pusat Komuniti DAP di Pusat Perniagaan Tasek Kluang baru-baru ini.

Menurut Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, kunjungan Amanah itu membuka lebih banyak ruang kepada kedua-dua parti bagi menyusun gerak kerja yang lebih kemas untuk merealisasikan perubahan dari aspek ekonomi dan sosial rakyat.

“Dalam situasi ekonomi yang sangat mencabar, kita perlu mengukuhkan jentera untuk memberi penerangan kepada rakyat terhadap isu-isu setempat dan nasional.

“Namun, kerjasama yang dijalinkan itu mestilah menyeluruh sehingga ke akar umbi, bagi membolehkan rakyat setempat mendapat penerangan, pencerahan seterusnya mampu digembleng untuk merealisasikan perubahan.

Ahli Parlimen Kluang itu berharap, pertemuan ini mampu memberikan momentum gerak kerja yang lebih kukuh menuju PRU14 akan datang.

Antara wakil Amanah yang hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Amanah Kluang, Haji Mohd Sapari; Naib Ketua Amanah Kluang, Mahadzir Md Zii dan Hanafi; Setiausaha, Mohidin; Bendahari, Haji Karim dan Ketua Pemuda, Daniel.

Selain Chin Tong, DAP diwakili oleh Adun Mengkibol, Tan Hong Pin; Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali dan Ketua Wanita DAP Kluang, Lily.

Naib Ketua Amanah Kluang, Mahadzir Md Zii pula berkata, satu persetujuan telah dicapai bagi membentuk jentera bersama melibatkan kerjasama penuh di kawasan Kluang.

“Kita ingin sampaikan mesej kepada rakyat bahawa Pakatan Harapan tidak mengamalkan sikap ‘holier than thou’. Sebaliknya, setiap parti duduk sama rendah, berdiri sama tinggi demi kepentingan rakyat.

“Cabaran yang dihadapi oleh Pakatan Harapan selama ini bukan sedikit. Di peringkat Amanah sendiri, pelbagai serangan untuk mencalarkan imej parti ini telah dibuat oleh pihak lawan.

“Kita terus dimomokkan, khususnya di kalangan pengundi Melayu sebagai ‘kuda tunggangan DAP’, anti Melayu Islam dan sebagainya. Namun semua itu adalah serangan bersifat politik yang hakikatnya jauh panggang dari api,” tegasnya. – Roketkini.com