Berita

Lebihan belanjawan Pulau Pinang hasil pentadbiran telus, Guan Eng jawab tohmahan Gerakan

GEORGE TOWN, 4 JAN: Dakwaan parti Gerakan kononnya penjualan tanah di Pulau Pinang menyumbang kepada lebihan belanjawan tahunan negeri sejak lapan tahun lalu tersasar dari fakta sebenar.

Hakikatnya, lonjakan belanjawan kerajaan negeri itu adalah hasil dari pentadbiran dan perakaunan yang bersih, jujur selaras dengan slogan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) tegas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau membidas dakwaan Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng yang kehairanan mempersoalkan bagaimana belanjawan kerajaan negeri mencatatkan lebihan.

“Tidak wujud pengiraan yang tak kena’ seperti yang didakwa. Apa yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri cumalah perakaunan yang bersih dan jujur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata pemimpin Gerakan itu tidak boleh secara membabi buta menganggap penjualan aset yang dimiliki Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) adalah sebahagian dari pendapatan negeri, kerana aset-aset berkenaan bukan milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Ia diuruskan secara berasingan, sama seperti akaun Kerajaan Persekutuan yang berasingan dari TNB, PNB, atau Tabung Haji.

“Liang keliru dengan perbezaan akaun antara Kerajaan Negeri, PDC, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai,” jelas Guan Eng.

Tegasnya, semua badan tersebut mempunyai akaun berasingan serta tidak boleh dianggap sebagai satu.

“Tetapi Liang mencampurkannya dan cuba menunjukkan seolah-olah kerajaan negeri menjual lebih banyak tanah daripada RM658 juta yang direkodkan sejak 2008,” jelas beliau.

Liang dalam status di laman Facebook nya semalam mendakwa kerajaan negeri memperoleh RM1.07 billion untuk penjualan tanah dan hak tebus guna tanah Bayan Mutiara pada 2011, namun hanya merekodkan RM658 juta dalam tempoh 2008 hingga 2015.

Menjelaskan, Guan Eng berkata, bayaran penuh bagi tanah itu tidak dibayar pada 2011 tetapi pembayarannya dibuat secara beransur bagi tempoh enam tahun.

“Bayaran terakhir akan dibuat pada 10 November tahun ini. Jelas sekali bahawa Liang tidak faham perbezaan antara tunai dan sistem perakaunan akruan,” tegasnya.

Menjawab persoalan mengapa kerajaan negeri Pakatan masih mencatatkan lebihan walaupun kos operasi meningkat, Guan Eng berkata ia adalah hasil pentadbiran kerajaan Pakatan yang berlandaskan prinsip CAT.

“Kita dapat menjimatkan kos melalui tender terbuka yang mampu memberikan harga yang terbaik, simpanan yang efisyen dan kepimpinan yang bersih dimana dana awam tidak dirompak melalui skandal rasuah seperti BN,” kata beliau.

Perbezaan jualan tanah di Bayan Mutiara dan Tanjung Pinang

Liang turut mendakwa kerajaan BN lalu menjual 36 kali ganda tanah (3,661) ekar dengan pendapatan yang lebih sedikit iaitu sebanyak RM1,058 juta berbanding kerajaan Pakatan dengan perolehan RM1,110 juta kerana kerajaan BN menjual tanah dan hak menebus tanah manakala kerajaan Pakatan hanya menjual tanah.

Menempelak dakwaan itu Guan Eng berkata dakwaan Liang tidak benar kerana jualan tanah melibatkan Bayan Mutiara oleh kerajaan Pakatan dijual pada harga RM240 per kaki persegi melalui tender terbuka.

“Sedangkan tanah di Tanjung Pinang pula dijual oleh kerajaan BN hanya pada kadar RM1 per kaki persegi kerana tidak melalui tender terbuka.

Adun Air Putih itu berkata, Pulau Pinang juga akan merekodkan lebihan pendapatan sebanyak RM1,074 juta sejak 2008 jika RM500 juta tidak diperuntukkan kepada Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik.

“RM500 juta ini diambil daripada hasil penjualan tanah sebanyak RM658 juta oleh Kerajaan Negeri, yang jelas menunjukkan bahawa penjualan tanah bukanlah faktor kepada lebihan pendapatan tahunan Pulau Pinang.

“Semua fakta ini sudah disahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara. Rakyat boleh menilai sendiri siapa yang patut dipercayai untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia,” tegasnya. – Roketkini.com