Berita

Menteri MCA jangan jadi cauvinis, pentingkan satu kelompok sahaja – Lip Eng

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Kepentingan semua kaum dalam aspek pendidikan harus disuarakan secara sama rata dan tidak tertumpu terhadap kepentingan sesuatu kaum sahaja, ujar Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Beliau berkata, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai harus memastikan peruntukan RM50 juta yang dijanjikan dalam belanjawan terdahulu disalurkan kepada semua jenis sekolah tanpa menyentuh secara spesifik satu-satu jenis sekolah sahaja.

“Sebagai seorang menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan, Liow tidak hanya patut membangkitkan masalah peruntukan sekolah Cina sahaja dengan perdana menteri.

“Kecualilah jika beliau memang seorang ahli politik cauvinis yang hanya mementingkan faedah satu kelompok sahaja,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Lip Eng berkata demikian mengulas kenyataan Liow seperti yang dilaporkan media semalam bahawa akan berjumpa dengan perdana menteri bagi membincangkan peruntukan RM50 juta untuk sekolah Cina. Liow bagaimanapun tidak menyatakan mengenai peruntukan sekolah lain.

Ia susulan, dua minggu lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan laporan bahawa kementeriannya telah mengehadkan akses peruntukan tahunan RM50 juta ekoran kekurangan dana bagi tujuan penyelanggaraan dan pembangunan sekolah Cina.

Mengulas lanjut, Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan berkata, Liow yang juga Menteri Pengangkutan harus memaklumkan bilakah tarikh beliau akan bertemu dengan perdana menteri bagi membincangkan isu tersebut.

“Hasil pertemuan tersebut pula wajar dihebahkan kepada orang ramai, memandangkan isu-isu ini memberi kesan kepada orang ramai.

“Kecualilah kalau kedua-dua orang ini ada rahsia yang mahu mereka sorok daripada pengetahuan kita semua,” katanya.

Lip Eng dalam pada itu turut meminta Liow dalam pertemuan dengan perdana menteri itu membangkitkan mengenai janji Barisan Nasional (BN) pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu bagi menurunkan harga kerea baru dan kadar tol lebuhraya. – Roketkini.com.