Berita

Kemiskinan di Sabah: Kakitangan awam ditangkap, “jerung besar” terlepas

KOTA KINABALU, 9 JAN: Rasuah dan salah guna kuasa melampau adalah punca kemiskinan di Sabah masih gagal ditangani dengan baik sejak membentuk Malaysia 53 tahun lalu.

Kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, jika pada tahun lalu Malaysia dinobat sebagai sebuah negara kleptokrasi dengan gelaran kerajaan pencuri, perompak dan penyamun, Sabah pula telah menjadi sebuah negeri paling kleptokratik di negara ini.

Ia jelasnya terbukti dengan skandal rasuah puluhan juta ringgit melibatkan Jabatan Air Sabah beberapa bulan lalu.

“Orang Sabah wajar bertanya, di sebalik segala kekayaan hasil mahsul Sabah, kemiskinan di Sabah pula terlalu teruk sehingga Sabah telah menjadi negeri termiskin di negara ini,” katanya semasa pelancaran Pakatan Harapan Sabah, semalam.

Menurut Kit Siang, walaupun SPRM berjaya menahan beberapa pegawai kerajaan sebelum ini, ia bukanlah satu kejayaan besar terhadap kempen anti-rasuah agensi itu.

“Jika China dan Indonesia telah berjaya menangkap dan memenjarakan “harimau” dan “buaya” dalam kempen anti-rasuah mereka, SPRM masih gagal memenjarakan “jerung” negara ini.

“Kejayaan kempen anti-rasuah hanya akan berjaya jika SPRM dapat menangkap “jerung-jerung politik” negara ini.

“Tumpuan SPRM terhadap kakitangan awam semata-mata tidak akan  memberi kejayaan besar terhadap kempen anti-rasuah mereka,” tegas beliau.

Justeru, demi memulihkan semula keadaan negara dan Sabah, perubahan perlu dilakukan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Pakatan Harapan Sabah menawarkan kepada rakyat Sabah satu pilihan iaitu antara demokrasi ataupun kleptokrasi.

“Tawaran ini bukan sahaja di Sabah semata-mata, tetapi juga di seluruh Malaysia,” ujar Kit Siang. -Roketkini.com