Berita

“Syabas Faiz Subri, tahniah Malaysia!” – DAPSY

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Sosialis Muda (DAP) DAPSY merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohd Faiz Subri yang telah melakar sejarah manis dalam arena bola sepak negara dengan memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Wong Kah Woh, Ketua DAPSY, Adun Canning

Ketua DAPSY Kebangsaan, Wong Kah Woh berkata, pencapaian Faiz ini membuktikan bahawa anak Malaysia mampu untuk bersaing ke peringkat antarabangsa melalui usaha kerja keras dan semangat yang tinggi.

“Ini akan menjadi teladan kepada anak muda bahawa tidak ada jalan pintas untuk mencapai kejayaan dan segalanya mungkin dengan usaha gigih.

“Kita berharap FAM boleh menjadikan pencapaian Faiz Subri ini sebagai satu dorongan untuk meningkatkan prestasi pasukan bola sepak negara, yang pernah menjadi kebanggaan kita semua, namun kini telah jatuh ke tangga 161 dalam kedudukan sedunia.

“Syabas sekali lagi diucapkan kepada Faiz dan Malaysia!” katanya dalam satu kenyataan.

Faiz memperoleh undian tertinggi sebanyak 59.46 peratus untuk jaringan gol terbaik dunia mendahului pesaingnya Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil ( 22.86%), Daniuska Rodriguez dari Venezuela  (10.01%) dan lain-lain.

Jaringan ‘ajaib’ itu dilakukan ketika Faiz bersama pasukannya berentap dengan pasukan Pahang yang mencatat kemenangan 4-1 dalam saingan Liga Super 2016.