Rencana

Atasi sekolah kurang murid, elak agihan sumber tidak cekap

Sekolah, sebagai tapak mula bagi generasi akan datang memajukan diri merupakan institusi awal terpenting. Musim sekolah 2017 baru bermula. Kita disaji dengan telatah anak-anak yang memasuki alam persekolahan. Ragam mereka dengan persekitaran baru tidak kurang mendapat perhatian, termasuk bagi pasangan muda yang teruja menghantar anak ke sekolah buat pertama kali.

Selain ibu bapa dan anak-anak, turut teruja adalah para guru yang sentiasa menyediakan diri untuk berkorban masa dan tenaga demi mendidik anak bangsa.

Namun satu hal yang mungkin menarik atau janggal kita dengar saban tahun ialah isu kekurangan murid dalam sesebuah sekolah atau dikenali sebagai sebagai sekolah kurang murid (SKM).

Sekolah Kebangsaan Tebing Rebak di Bagan Datoh, Perak seperti dilapor media baru-baru ini hanya menerima dua pelajar yang didaftarkan bagi sesi 2017 iaitu murid di tahun satu dan tahun lima.

Lain pula situasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Klang yang terpaksa ‘bersesak-sesak’ kerana memiliki lebih 4,5000 pelajar dan merupakan sekolah dengan jumlah pelajar paling ramai di Malaysia.

 

Apakah punca ketidakseimbangan jumlah murid di sekolah?

Menurut data terbaru Kementerian Pendidikan Malaysia yang dikemaskini pada 1 Jun 2016 lalu, statistik bilangan sekolah di negara ini berjumlah 10,180 dengan pecahan sebanyak 7,772 sekolah rendah manakala sekolah menengah pula berjumlah 2,408.

Jumlah keseluruhan murid pula berjumlah 4,873,928 orang dengan 2,685,403 pelajar rendah dan 2,188,525 pelajar menengah.

Persoalannya, mengapa isu ketidakseimbangan murid di sekolah masih berlaku sehingga sekarang dan apa perancangan Kementerian Pendidikan untuk mengatasi masalah ini?

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, salah satu sebab berlakunya kekurangan atau kepadatan murid dalam sesebuah sekolah adalah faktor populasi.

Mengulas isu kekurangan murid di Sekolah Kebangsaan Rebak, Zairil berkata Kementerian Pendidikan harus mewajarkan keadaan tersebut supaya sumber kerajaan tidak dibazirkan.

“Berdasarkan kenyataan guru besar (seperti laporan media), sekolah ini juga mula kekurangan murid apabila sekolah baru didirikan di kawasan seberang.

“Jika benar, maka timbul persoalan mengenai perancangan KPM dan bagaimanakah dua buah sekolah boleh wujud dengan berhampiran walaupun tidak cukup bilangan populasi murid,” katanya kepada Roketkini.

 

Atasi dengan bersepadu, elak pengagihan sumber tidak cekap

Merujuk kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sebanyak 34 peratus sekolah rendah negara ini berada dalam kategori SKM dengan 73 peratus daripadanya berada di luar bandar.

SKM disifatkan sebagai sekolah yang mempunyai bilangan murid kurang daripada 150 orang.
Kata Zairil, kementerian perlu menangani isu kekurangan murid ini dengan lebih bersepadu bagi mengurangkan pengagihan sumber yang tidak cekap.

“Saya rasa kementerian harus mengambil perhatian perkara ini supaya tidak berpanjangan.

“Mungkin kementerian boleh memberi arahan supaya setiap Jabatan Pendidikan Negeri membuat audit bagi setiap negeri untuk mengenalpasti punca sekaligus mencari penyelesaian. Langkah harus diambil untuk merasionalisasikan keadaan,” katanya.

Selain faktor populasi akibat penghijrahan, antara faktor lain yang dikenal pasti menyumbang kepada sekolah kurang murid ini ialah faktor kelengkapan sekolah, kekurangan guru dan kemudahan infrastruktur lain seperti perhubungan jalan raya khususnya di kawasan pedalaman. –Roketkini.com