Berita

Pemergian Adenan Satem, kehilangan besar bagi Sarawak – Pengerusi DAP Sarawak

KUCHING, 11 JAN: Menzahirkan rasa dukacita, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata pemergian Allahyarham Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem merupakan kehilangan besar kepada rakyat Sarawak.

Menurutnya, sepanjang perkhidmatan Adenan sebagai Ketua Menteri, allahyarham telah membuktikan bahawa Sarawak boleh bangkit menentang pengaruh kuasa daripada Kerajaan Persekutuan.

Chong dan Adenan dalam satu majlis.

“Takziah buat seluruh keluarga allahyarham Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

“Sepanjang tempoh menjawat sebagai Ketua Menteri, beliau telah cuba sedaya-upaya untuk melakukan perubahan kepada Sarawak, walaupun berdepan dengan cabaran yang besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata, walaupun hanya berkhidmat untuk tempoh yang singkat, allahyarham telah memberi sumbangan yang besar kepada Sarawak.

“Beliau telah menunjukkan bahawa Sarawak boleh bangun menentang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat Sarawak. Saya mewakili rakyat dan DAP Sarawak ingin merakamkan terima kasih dan penghargaan atas jasa dan sumbangan beliau kepada negeri,” ujarnya.

Allahyarham Adenan Satem dilaporkan meninggal dunia pada jam 1.20 petang tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kota Samarahan, Sarawak. – Roketkini.com