Berita

Wartawan Roketkini dipanggil bantu siasatan kes Akta Hasutan Anthony Loke

SEREMBAN, 11 JAN: Lanjutan kepada siasatan terhadap Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke di bawah Akta Hasutan, wartawan Roketkini, Syazana Hasanudin hari ini dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban bagi membantu siasatan.

Anthony Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban disiasat di bawah Akta tersebut ekoran ucapannya di Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam, 12 November 2016 lalu yang didakwa kononnya menghasut untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta tersebut oleh Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asistan Superintendan Polis (ASP), Mohd Razly bin Mazli.

Syazana diwawancara pihak polis selama sejam dan memberikan kerjasama penuh.

“Polis tanya sama ada berita yang ditulis itu telah direka siap-siap atau tidak, dan saya jawab sudah tentu tidak,” katanya.

“Seorang ahli parlimen seperti Anthony tentunya percaya kepada sistem Demokrasi Berparlimen dan sistem pilihan raya di Malaysia,” ujar Syazana, mengulas ucapan tersebut yang didakwa kononnya bertujuan menjatuhkan Perdana Menteri dengan cara ganas atau revolusi.

Bahkan, katanya, konteks ucapan tersebut yang disampaikan dalam konvensyen gabungan parti politik sepatutnya difahami sebagai menewaskan parti kerajaan melalui jalan demokrasi yang mengikut lunas undang-undang.

Syazana diiringi peguamnya, Lim Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut.

“Jika YB Anthony boleh kena tangkap hanya kerana cakap ‘jatuhkan Najib’ atau ‘tumbangkan Najib’, ada beribu lagi netizen yang cakap perkara sama di laman sosial dan medium-medium lain.

“Takkan semuanya harus ditangkap?” soal Lip Eng.

Pada masa yang sama Lip Eng turut mempersoalkan mengapa kes harus disiasat di Seremban dan bukannya di Shah Alam.

“Kes itu di Shah Alam. Kenapa IPD Seremban siasat? Ini amat menghairankan,” katanya lagi

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong, Adun Temiang, Ng Chin Tsai dan Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon. – Roketkini.com