Berita

BN tabur puluhan juta, jalan kampung Orang Asli Pos Betau-Lenjang masih berlopak

CAMERON HIGHLANDS, 12 JAN: Puluhan juta ringgit telah disalurkan Kerajaan Persekutuan bagi membina dan menaik taraf jalan Pos Betau – Pos Lenjang, namun laluan utama penduduk Orang Asli di sini itu dilihat masih ditahap yang tidak memuaskan.

Hasil tinjauan Impian Malaysia bersama Roketkini mendapati jalan sepanjang 29 kilometer tersebut diliputi lecak dan lopak, selain jalan yang diturap sebelum ini telah rosak ekoran pembinaannya yang tidak sempurna.

Ziarah Impian Malaysia meninjau keadaan perkampungan Orang Asli Pos Lenjang.

Menurut Tok Batin Kampung Dayok, Kamal A/L Bah Lepin, keadaan jalan seumpama itu menyukarkan hampir 4,000 penduduk kampung di sekitar Pos Lenjang apabila berlaku kecemasan.

“Kalau berlaku emergency (kecemasan) bagaimana? siapa yang harus dipersalahkan dengan keadaan jalan begitu? Adakah kerajaan atau Orang Asli?” soalnya.

Katanya, Orang Asli menuntut jalan sempurna bukan atas dasar kepentingan kaum tersebut sahaja, sebaliknya turut memikirkan beberapa infrastruktur kerajaan seperti sekolah dan klinik di sini yang turut terjejas jika jalan berkenaan rosak.

“Jalan ini adalah untuk kita semua, untuk kerajaan juga, sebab apa? Sebab di sini ada sekolah.

“Kenapa mereka (kerajaan) hanya kata jalan ini hanya untuk Orang Asli? Bila mereka kata macam ini seolah-olah permintaan kami ini dipermainkan,” ujarnya.

Dasar Wawasan 2020 hanya berbaki tiga tahun lagi, namun menurut Kamal dari suku Semai itu, pembangunan infrastruktur melibatkan penduduk pedalaman khususnya Orang Asli masih jauh ketinggalan.

“Kerajaan kata nak jadi Wawasan 2020, negara maju, berpendapatan tinggi, tetapi kenapa kami Orang Asli masih seperti ini?

“Kalau dah diberi target (sasaran) negara maju, saya rasa (kerajaan patut laksanakan) lebih awal daripada apa yang dicakapkan itu,” ujarnya.

Seperti yang dilaporkan lidah rasmi UMNO, Utusan, sebanyak RM19 juta telah diperuntukkan kerajaan pada 2011 bagi membina jalan tar di sepanjang jalan yang menghubungkan 14 kampung di kawasan tersebut.

Media itu pada tahun yang sama turut melaporkan bahawa RM6 juta turut diperuntukkan bagi menaik taraf 15 kilometer jalan raya di Pos Lenjang.

Terbaharu, Ogos tahun ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi membina jalan baru di sepanjang Pos Betau ke Pos Lenjang.

Namun mengikut pemerhatian Roketkini sehingga semalam tidak ada sebarang pembinaan jalan baru sedang dilaksanakan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, beliau akan membawa isu berkenaan ke sidang Dewan Rakyat akan datang bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai projek pembinaan jalan tersebut.

“Saya akan tanya di Parlimen, berapa kos sebenarnya dan siapa pihak kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembinaan jalan tersebut,” katanya. – Roketkini.com