Berita

Harga barang keperluan naik mendadak bukti GST gagal kawal kenaikan

BATU GAJAH, 12 JAN: Walaupun kerajaan BN mendakwa tujuan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk mengawal harga, hakikatnya harga barangan keperluan rakyat semakin meningkat.

Situasi ini kata Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar menunjukkan kerajaan telah gagal dalam melaksanakan dasar itu.

“Kerajaan yang sebelum ini memberi jaminan harga, tidak dapat mengawal keadaan sekarang.

“Kerajaan gagal mengawal penularan inflasi sejak GST diperkenalkan pada 1 April 2015,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan laporan kewangan kerajaan katanya, hasil kutipan GST bagi tempoh 1 April 2015 hingga 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM27 bilion.

Manakala pada tahun 2016 pula, kerajaan telah berjaya mengutip sebanyak RM38.5 bilion dengan sasaran kutipan bagi tahun 2017 sebanyak RM40 bilion.

“Selepas setahun setengah pelaksanaan GST, rakyat telah merasakan cubitan yang cukup pedih. Hari ini, kenaikan harga menjadi rungutan utama di mana-mana jua,” ujarnya.

Dalam keadaan membebankan ini kata Siva, rakyat turut menyaksikan pemimpin-pemimpin BN berbelanja mewah di dalam dan luar negara.

“Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak mempedulikan rintihan rakyat.

“Beliau dan keluarganya masih berbelanja mewah di dalam dan di luar negara. Pemimpin BN yang lain juga turut mencontohi jejak langkah pemimpin utama mereka,” katanya lagi. -Roketkini.com