Berita

Hukuman ke atas mahasiswa: Mahukah UM terus jadi bahan ketawa dunia?

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Mengapa mahasiswa terus diasak dengan amaran demi amaran oleh pihak universiti sedangkan mereka hanya menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat yang peduli tentang ketidakadilan yang berlaku di negara ini?

Terbaru, Universiti Malaya (UM) bertindak mengheret empat pelajarnya ke jawatankuasa disiplin hanya kerana memprotes kenyataan 1MDB yang didakwa tidak benar dalam satu program anjuran institusi itu Oktober lalu.

Mengulas perkara itu, Naib Presiden DAP, Teresa Kok berkata hak mahasiswa untuk merungkai kebenaran dan mempersoal sebarang kenyataan yang dimomokkan kepada mereka patut diraikan dan disokong.

Beliau menjelaskan, pelajar yang kritikal dengan isu semasa, terutama melibatkan kepentingan rakyat serta terdedah dengan aktivisme mahasiswa akan berupaya menjadi pemimpin yang telus dan berkaliber.

Hal ini, seperti yang dinyatakan beliau dalam kenyataan sebelum ini, dapat dibuktikan melalui kehebatan pemimpin-pemimpin pelajar dari negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang memperoleh hak beraktivisme mereka.

“Tuduhan kononnya kelakuan pelajar itu mengganggu ketenteraman awam dan memboikot acara rasmi universiti sekali lagi membuatkan UM menjadi bahan ketawa komuniti akademik seluruh dunia.

“Mengapa pihak Universiti tidak henti-henti mencemarkan imejnya sendiri dengan menghukum aktivis-aktivis mahasiswa?” soalnya dalam satu kenyataan.

“Aktivisme mahasiswa sepatutnya disokong penuh kerana itulah peranan universiti yang sebenar,” jelasnya.

Oleh itu, Teresa mendesak agar semua tuduhan yang dilemparkan ke atas empat pelajar terbabit ditarik balik dengan serta-merta.

UM sebelum ini turut melakukan perkara sama kepada empat pelajar lain yang didakwa terlibat dalam himpunan #TangkapMO1 yang diadakan pada Ogos tahun lalu.

Anis Syafiqah, Mohamad Luqman Nul Haqim dan Muhammad Luqman Hakim Fazli digantung satu semester beserta denda RM400 dan amaran.

Manakala seorang lagi pelajar, Suhail Wan Azahar dikenakan denda RM400 beserta amaran. – Roketkini.com