Berita

NSTP diarah bayar RM300,000 kepada Guan Eng kerana artikel fitnah Berita Harian

GEORGE TOWN, 13 JAN: New Straits Times Press Berhad (NSTP) hari ini diarahkan membayar RM300,000 ganti rugi kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berikutan penyiaran artikel berunsur fitnah dalam akhbar Berita Harian pada 20 Ogos tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Rosilah Yop turut mengarahkan supaya syarikat akhbar itu membayar RM35,000 sebagai kos beserta lima peratus faedah sehingga penyelesaian penuh bayaran dibuat kepada Guan Eng selaku plantif.

“Mahkamah mendapati wartawan Berita Harian, Siti Sofia Md Nasir, memang mengetahui terma dalam penghakiman persetujuan antara Datuk Shaik Hussein Mydin dan Guan Eng.

“Ini memandangkan beliau (Siti Sofia) telah meneliti, membaca dan memahami draf penghakiman persetujuan itu.

“Kedua, mahkamah mendapati artikel berita tersebut tidak wajar dan tidak tepat berdasarkan inti penghakiman persetujuan.

“Berdasarkan penghujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah juga mendapati ada niat buruk dalam artikel tersebut,” jelas Peguam Plantif, Simon Murali kepada pemberita di kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini.

Pada 19 Ogos, Shaik Hussein yang ketika itu menjawat jawatan Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang memohon maaf kepada Guan Eng ekoran memfitnah Setiausaha Agung DAP itu melakukan rasuah dalam penjualan tanah Taman Manggis.

Kes tersebut diselesaikan secara penghakiman persetujuan di mahkamah di hadapan Hakim, Nordin Hassan dengan syarat Shaik Hussein menarik balik tuduhan berkenaan dan permohonan maaf dibuat dalam Berita Harian – akhbar yang menyiarkan fitnah berkenaan.

Bagaimanapun, akhbar di bawah kelolaan syarikat NSTP itu, melaporkan artikel dengan tajuk “Guan Eng tarik balik saman Shaik Hussein” secara tidak tepat dan tidak menepati apa yang dituntutnya dalam penghakiman persetujuan tersebut.

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, tajuk serta intipati artikel berkenaan seolah-olah memberi gambaran bahawa dirinya bersalah.

Pada 18 Disember, Berita Harian telah menerbitkan pembetulan (erata) berhubung kesalahan artikel tersebut namun Guan Eng tidak berpuas hati kerana akhbar itu masih gagal menepati tuntutannya sebelum ini. – Roketkini.com