Berita

Program 1MDB ‘cuci otak’ pelajar UM: DAPSY kecam tindakan heret empat pelajar ke jawatankuasa disiplin

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Sosialis Muda DAP (DAPSY) mengecam tindakan Universiti Malaya (UM) mengheret empat pelajar ke jawatankuasa disiplin ekoran memprotes kenyataan putar belit pihak 1MDB dalam satu program anjuran institusi pendidikan awam itu pada tahun lalu.

Empat pelajar itu merupakan ahli UMANY (Persatuan Anak Muda Baru Universiti Malaya);  Timbalan Presiden, Tan Jia You, Ketua Biro Publisiti, Chua Hun Ti dan Setiausaha Agung, Lau Li Yang, dituduh menganggu ketenteraman awam, tidak berdisiplin dan menghasut atau kononnya terlibat dalam boikot program rasmi universiti.

Manakala, bekas Presiden UMANY, Ho Chi Yang pula berdepan tuduhan yang sama kecuali tuduhan mengganggu ketenteraman awam.

“DAPSY menggesa pihak universiti supaya berhenti mengugut pelajar melalui tindakan disiplin dan menghormati hak kebebasan menyuarakan pandangan seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Mereka hanya menyampaikan pandangan rakyat mengenai skandal 1MDB.

“Oleh itu, adalah tidak adil, dan tidak bijak dan tidak berperlembagaan untuk menghukum pelajar kerana mereka mempunyai hak untuk memprotes dan menyuarakan keresahan rakyat,” ujar Pengarah Biro Hal-Ehwal Universiti dan Kolej Universiti DAPSY, Leong Yu Sheng.

Atas alasan itu, katanya, DAPSY menuntut supaya pihak UM menggugurkan kesemua tuduhan terhadap mereka.

Empat pelajar berkenaan mengangkat plakad ‘anti-1MDB’ sebagai tindakan memprotes pada 11 Oktober tahun lalu, dalam satu sesi perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang dianjurkan UM.

Mereka mendakwa sesi perbincangan antara pihak 1MDB dan pelajar itu bertujuan untuk ‘membasuh otak’ dan memperdaya penuntut berhubung isu skandal syarikat pelaburan bermasalah milik negara berkenaan.

Arul Kanda antara lain mendakwa kononnya firma audit yang dilantik 1MDB sebelum ini, Deloitte menarik diri ekoran tidak menyiapkan laporan audit kewangan syarikat terbabit bagi tahun 2015.

Pelajar berkenaan turut menuntut supaya “Malaysian Official 1” (‘MO1’) yang disebut sebanyak 36 kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) bagi merampas aset bernilai AS$1 bilion yang diseleweng daripada 1MDB supaya diberkas dan disiasat.

‘MO1’ dirujuk secara meluas sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ia disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Mengulas lanjut, Yu Sheng berkata, DAPSY membantah tindakan kerajaan UMNO-Barisan Nasional menyalahgunakan kemudahan universiti dengan tujuan untuk menyelamatkan kerjaya politik individu tertentu.

“DAPSY membantah tindakan kerajaan yang tidak menghormati kebebasan akademik dan menyalahgunakan kuasa dalam pentadbiran institusi pendidikan.

“Dengan menganjurkan sesi ‘cuci otak’ seumpama itu, pihak kerajaan telah menyalah guna kemudahan akademik dan melaksanakan aktiviti politik tidak wajar semata-mata ingin menutup skandal Najib (melibatkan 1MDB),” katanya. – Roketkini.com