Berita

Buru sampai ke lubang cacing wang 1MDB jika Pakatan Harapan tawan Putrajaya

GEORGE TOWN, 16 JAN: Langkah pertama yang akan dibuat Pakatan Harapan jika berjaya menawan Putrajaya adalah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi memburu setiap sen wang 1MDB hingga ke lubang cacing.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia berikutan Kabinet terus berdiam diri sepanjang tiga tahun negara dikaitkan dengan skandal 1MDB sehingga membuatkan Malaysia digelar sebagai ‘kleptokrasi global’ oleh masyarakat antarabangsa.

“Mengapa Kabinet tidak berbuat apa-apa untuk selesaikan skandal 1MDB sepanjang tiga tahun ini, sehingga menyebabkan wujud krisis kepercayaan dalam aspek politik, ekonomi dan pembangunan negara?

“Saya tidak percaya bahawa rakyat Malaysia yang patriotik akan berdiam diri ketika negara digelar sebagai ‘kleptokrasi global’,” katanya dalam satu kenyataan.

Komitmen yang sama dinyatakan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam majlis pelancaran parti itu di Shah Alam pada Sabtu lalu.

Beliau menyatakan, PPBM akan komited menyelesaikan skandal 1MDB jika dapat memenangi pilihan raya akan datang.

Kit Siang hairan mengapa barisan menteri dari parti selain UMNO turut membisu serta tidak menyuarakan pendapat mereka berhubung skandal tersebut dalam sidang kabinet dan Parlimen.

Hal ini, katanya, membuktikan bahawa wujud hubungan tuan-hamba dalam Barisan Nasional (BN) seperti yang dinyatakan oleh Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan baru-baru ini.

Wan Saiful menyatakan bahawa BN hari ini telah menjadi gabungan parti-parti kurang relevan yang diketuai sebuah parti yang amat berkuasa.

“Mereka tidak lagi setara. ‘Abang besar’ boleh sesuka hati melayan atau mengabaikan ‘minions’ yang lain,” ujarnya. – Roketkini.com