KUALA LUMPUR, 21 JAN: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) diminta oleh MCA dan bukannya DAP.
“Saya dilaporkan berkata DAP telah meminta untuk dilantik jawatan timbalan perdana menteri kedua.
“Saya ingin betulkan kesalahan itu. Bukan DAP tetapi adalah MCA,” jelas beliau dalam blognya.
Beliau merujuk perkara itu kepada satu laporan Jabatan Penerangan Malaysia pada tahun 2009 dimana Timbalan Setiausaha Agung MCA, Datuk Loke Yuen Yow, menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi BN untuk diisi presiden MCA.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa DAP menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri jika pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Menurut Guan Eng, DAP tidak pernah membincangkan perkara itu dengan mana-mana pihak termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“DAP hanya akan bertanding dalam 50 kerusi pada pilihan raya depan. Kita tidak pernah membuat apa-apa tuntutan untuk jawatan TPM,” katanya.
Kata beliau, DAP konsisten dengan pendirian untuk melantik Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri jika Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14. -Roketkini.com