Berita

Masalah graduan perubatan menganggur perlu penyelesaian jangka masa panjang – Teresa

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Pelajar yang berhempas pulas selama lima tahun mempelajari bidang perubatan nampaknya tidak dijanjikan peluang pekerjaan yang cerah oleh kerajaan.

Kata Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, perancangan jangka pendek kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah penempatan graduan bidang itu untuk latihan pegawai (housemanship).

Menurutnya, penempatan housemanship yang diberikan secara kontrak ketika ini tidak dapat menyelesaikan kemelut berkenaan, malah tidak ada jaminan oleh kerajaan bahawa mereka akan dilantik ke jawatan tetap.

“Ini semua berlaku kerana rancangan kontrak itu diambil kira secara ad hoc, sedangkan apa yang diperlukan mereka adalah rancangan jangka panjang bagi menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan doktor.

“Penyelesaian jangka panjang itu antara lain adalah untuk mengatasi masalah sebenar dan pokok iaitu kebanjiran penuntut bidang perubatan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Namun, menurut Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, semua itu tidak mampu di atasi ekoran kurangnya kemahuan politik UMNO-BN.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan bahawa setakat Disember tahun lalu, seramai 1219 graduan perubatan telah ditawarkan kontrak oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). – Roketkini.com