Berita

MCA jangan jadi ‘promoter’ negara China – Liew Chin Tong

KLUANG, 23 JAN: Entah apa yang difikirkan MCA apabila parti itu membentuk satu jawatankuasa hal ehwal yang berkhidmat sebagai ‘promoter’ untuk kepentingan negara China di Malaysia.

Parti komponen BN itu seolah-olah keliru dengan peranannya sebagai parti pemerintah, yang sepatutnya lebih menjaga hal ehwal rakyat negara ini berbanding China.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata sebagai sebuah parti di Malaysia, adalah salah untuk MCA bertindak sebagai ejen untuk kepentingan China di negara ini.

“Tidak salah untuk MCA mempunyai hubungan parti-ke-parti dengan parti politik di China tetapi ia bertentangan dengan norma untuk parti politik Malaysia membentuk “Jawatankuasa Hal Ehwal MCA-Republik Rakyat China” yang diwakili oleh gambar pelik jabat tangan antara logo MCA dan bendera China.

“MCA juga salah untuk menganggap bahawa pelaburan China, atau mana-mana pelaburan asing dalam hal ini, adalah satu penyelesaian mudah untuk masalah ekonomi di Malaysia,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Kluang itu, peranan MCA adalah untuk memastikan agensi kerajaan melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang menguntungkan rakyat.

Lebih-lebih lagi, Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam industri kecil dan sederhana (IKS).

“Bagi membantu pekerja Malaysia, kerajaan juga perlu mensyaratkan pelabur asing untuk mengambil seramai yang mungkin rakyat tempatan sebagai pekerja.

“Ini adalah tugas untuk sebuah parti pemerintah seperti MCA dan menteri seperti Wee Ka Siong,” tegasnya. – Roketkini.com