Berita

Takutkan Melayu dengan orang Cina, tapi gadai negara kepada China – Mohamad Sabu

AMPANG, 23 JAN: Di saat orang Melayu negara ini ditakutkan dengan ‘kaum Cina’ kononnya akan menguasai Malaysia, pada masa yang sama, kedaulatan negara terus tergadai kepada syarikat dari negara China.

Menurut Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, propaganda menakut-nakutkan orang Melayu seperti itu sengaja dibiarkan berleluasa supaya kaum Melayu tidak mengubah undi pada pilihan raya umum akan datang lapor Malaysiadateline.

“Kita lihat di media sosial (serangan) bertubi-tubi, jangan diizinkan DAP perintah Malaysia. Nanti Cina akan kuasai kita. Di kuliah-kuliah masjid seluruh negara seolah-olah tanpa sekatan dimainkan isu perkauman ini. 

“Jangan jadi macam Singapura. Lihat Cina memerintah, masjid pun ditutup. Propaganda seperti ini sengaja dibiar untuk melahirkan ketakutan di kalangan Melayu untuk tidak mengubah undi pada PRU akan datang.

“(Tetapi) Merekalah yang sekarang ini menggadaikan negara ini kepada China sehingga menjadi kegelisahan sebahagian besar rakyat. Dimainkan (konon mahu) jaga negara, kalau jatuh (kerajaan BN) Malaysia, DAP perintah Malaysia tetapi tempat-tempat strategik negara dianugerahkan kepada syarikat-syarikat negara tersebut,” katanya berucap di Majlis Makan Malam Amanah dekat sini.

Jelasnya, kenyataan itu bukan bermaksud Pakatan Harapan menolak kepentingan pelaburan asing namun ianya harus terkawal dan tidak mengancam kedaulatan tanah air.  

“Kita mahu pelabur asing tetapi biar mereka datang dengan terma syarat ditentukan oleh negara yang memberi manfaat kepada rakyat bukannya mereka datang sehingga boleh menguasai sesuatu tempat,” tegas beliau. –Roketkini.com