Berita

Biarpun pahit, PAS wajar ketepi soal emosi demi selamatkan Malaysia – Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Tidak ada agenda politik yang lebih penting selain daripada menyelamatkan Malaysia yang kini dicengkam kleptokrasi akibat kepimpinan tidak telus UMNO Barisan Nasional.

Atas dasar itu jugalah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam bersedia menghulurkan salam perdamaian dengan PAS jika parti itu berkongsi komitmen sama dalam memerangi kleptokrasi.

Baginya, sebarang perbezaan pendapat tidak patut menghalang penyatuan semua parti pembangkang tanpa mengira kaum dan agama dalam menewaskan kerajaan rasuah.

Perkara sama turut dilontarkan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok hari ini yang menyarankan agar PAS tidak terus dibuai emosi sehingga mengetepikan agenda yang lebih penting, iaitu menyelamatkan Malaysia.

“Soal perasaan, tidak kira sepahit manapun, tidak wajar menjadi penghalang kepada agenda yang lebih besar, iaitu kepentingan negara dan rakyat.

“Seperti Pakatan Harapan dan PPBM, PAS juga perlu menyelamatkan Malaysia dari terus menjadi kleptokrasi global atau lebih teruk lagi, sebuah negara gagal,” ujarnya.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, kesudian Kit Siang untuk berdamai dengan PAS walaupun Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mengingkari perjanjian antara mereka semasa Pakatan Rakyat dulu adalah semata-mata demi kepentingan rakyat.

“Tak dinafikan apabila Hadi Awang gagal mematuhi Dasar Bersama Pakatan Rakyat dulu dan menyebabkan Pakatan berpecah, ia mengecewakan kita dan semua penyokong parti pembangkang.

“Tapi, tidak kiralah sekecewa mana pun DAP dengan Hadi Awang, semua parti pembangkang mesti bersatu,” katanya. – Roketkini.com