Berita

“Datuk dan ayah lahir di Malaya, tapi di usia 12, saya masih IC merah…” – M. Kula Segaran

IPOH, 24 JAN: Isu taraf kewarganegaraan masyarakat India di Malaysia bukanlah perkara baru malah ia telah dibangkitkan banyak kali di Parlimen.

Tanpa penyelesaian menyeluruh, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat, M.Kula Segaran, perkara itu akan hanya menimbulkan lebih banyak masalah kepada mereka yang masih belum mendapat status kerakyatan.

Tambahan pula, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkata bahawa tiada kelonggaran akan diberi kepada kaum India di negara ini untuk memperoleh dokumen pengenalan diri.

“Adakah beliau fikir isu yang menyebabkan penderitaan panjang ini akan selesai jika kerajaan tak beri kelonggaran? Adakah beliau ikhlas untuk memperbetulkan ketidakadilan yang dialami selama ini?” soal Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu.

Menyifatkan kenyataan Zahid itu tidak sensitif, Kula berkata ia hanya membuatkan rakyat tertanya-tanya adakah Timbalan Presiden Umno itu tahu masalah sebenar yang melanda masyarakat India tanpa warganegara tersebut.

“Adalah beliau sedar bahawa ramai yang telah dinafikan untuk mendapat kerakyatan secara tak wajar? Pada umur 12 tahun, saya sendiri bukanlah warganegara dan hanya diberikan IC merah.

“Walaupun, datuk dan ayah saya dilahirkan di Malaya, saya dinafikan kerakyatan. Bagaimana pula dengan yang lain?

“Saya terpaksa berjuang dan diberikan kerakyatan tetapi masih ramai yang lain tak bernasib baik seperti saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kula, banyak laporan mendedahkan terdapat ratusan ribu kes kerakyatan masyarakat India negara ini dan beliau telah membangkitkan isu ini di Parlimen.

Kenyataan Zahid itu juga jelasnya bercanggah dengan pendirian yang dibuat Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu semasa pelancaran ulang tahun ke-70 MIC.

“Masa itu, Najib kata sudah tiba masanya mereka yang masih belum mendapat kerakyatan mendapatkan hak mereka,” jelasnya.

“Keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan. Perdana Menteri perlu campur tangan jika Zahid tidak melakukan apa yang sewajarnya dalam menghargai sumbangan dan pengorbanan masyarakat India negara ini,” ujar beliau. – Roketkini.com