Berita

DAPSY berjaya kutip RM5,020 kepada aktivis mahasiswa

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Sebanyak RM5,020 berjaya dikumpul dalam kempen kutipan derma #SolidarityForAsheeqAli anjuran Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan yang dilancarkan sejak 23 Disember tahun lalu.

Mengumumkan perkara itu, Biro Hal-Ehwal Universiti dan Kolej Universiti DAPSY berharap supaya ia dapat membantu gerakan mahasiswa negara ini melawan penindasan yang berlaku sama ada dari pihak universiti mahupun kerajaan.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberi sokongan terhadap perjuangan mahasiswa,” kata biro tersebut dalam satu kemaskini facebook.

Asheek sebelum ini dikenakan hukuman gantung satu semester dan denda RM200 oleh pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hanya kerana terlibat dalam himpunan Tangkap MO1 yang diadakan di ibu negara pada 27 Ogos 2016.

Dalam satu sidang media akhir tahun lalu, aktivis mahasiswa itu bertegas bahawa beliau hanya mahu mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap ‘Malaysian Official 1’, individu yang disebut Jabatan Kehakiman Amerika sebagai terlibat dengan penyelewengan dana syarikat 1MDB. –Roketkini.com