Berita

Dulu janji naik taraf internet pada Januari, kini berperingkat pula sampai Jun?

IPOH, 25 JAN: Apa sudah jadi dengan janji kerajaan terhadap kelajuan semua perkhidmatan jalur lebar talian tetap yang akan ditingkatkan dua kali ganda menjelang Januari 2017?

Atau adakah itu sekadar janji kosong apabila ia bercanggah dengan pengumuman Telekom Malaysia (TMnet) baru-baru ini bahawa penggandaan kelajuan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan hanya siap sepenuhnya pada bulan Jun.

Ketua Biro Publisiti DAP Perak, Chong Zhemin berkata, perkara ini perlulah dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana akan ada pengguna yang hanya memperoleh peningkatan kelajuan pada bulan Jun.

“Jika Najib gagal jelaskannya, bermakna beliau mungkin cuba mengelirukan Parlimen semasa pengumuman Belanjawan 2017 sebelum ini.

“TMnet juga perlu memberi pampasan kepada kumpulan pengguna yang hanya menerima peningkatan kelajuan jalur lebar talian tetap pada bulan Jun,” katanya.

Mengulas kempen “Thank You Surprise’ oleh TMnet yang bertujuan menaik taraf kelajuan internet, Zhemin berkata ia memerlukan pengguna untuk memasukkan data mereka seperti nombor kad pengenalan, TMHomeline, nombor telefon dan alamat e-mel.

“Saya cadangkan supaya TMnet dapat mengurangkan proses yang rumit dan menyediakan penggandaan itu secara automatik. Ada pengguna yang mungkin terlepas pandang e-mel mereka dan tidak mendapat kemudahan itu,” ujarnya. – Roketkini.com