Berita

Awas kaki fitnah! Kit Siang akan ambil tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang menyebar fitnah terhadap dirinya.

Menurut Kit Siang, beliau telah pun meminta peguamnya untuk meneliti semua artikel, kenyataan dan ucapan berniat jahat yang menuduhnya ‘kemaruk’ kuasa, anti-Melayu dan anti-Islam.

“Selama hampir lima dekad penglibatan saya dalam politik, saya dilayan seperti tak wujud oleh media arus perdana yang dikawal UMNO, kecuali dalam sesetengah keadaan untuk memburukkan saya.

“Tapi sejak empat minggu lepas, kerap kali saya dipapar di tiga media kepunyaan UMNO yang melayan saya seperti ‘persona non grata’ untuk membolehkan dalang propaganda UMNO mengenakan saya,” katanya, merujuk kepada portal berita Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times.

Jelas Kit Siang, taktik itu bagi memudahkan pemimpin, propagandis dan tentera siber UMNO menjatuhkan dan memusnahkan karier politik beliau.

Terbaru, media arus perdana melancarkan serangan fitnah kononnya Kit Siang bercita-cita mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Ia termasuk laporan Utusan semalam yang memutar belit kenyataan AJK Biro Guaman DAP Kedah, Zulhazmi Shariff kononnya DAP menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Malah, Utusan bersama Berita Harian, New Straits Times dan TV3 turut ‘menyerang’ portal berita Malaysiakini yang dituduhnya menyokong ‘hasrat’ DAP tersebut sedangkan ia langsung tidak berasas.

“Biar saya jelaskan di sini yang saya tidak pernah bercita-cita mahu jadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

“Satu-satunya impian saya adalah memastikan usaha politik kita selama ini akan melahirkan generasi akan datang yang lebih bersatu-padu, adil, demokratik dan sejahtera,” tegas Kit Siang. – Roketkini.com