Berita

Kerajaan digesa semak semula perjanjian perdagangan, utamakan kepentingan rakyat

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) harus menyemak semula sebarang perjanjian perdagangan yang dirunding dengan negara-negara lain bagi memastikan kepentingan rakyat terbela.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, ini kerana perjanjian yang dipersetujui negara sebelum ini, termasuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dilihat ramai pihak sebagai menguntungkan syarikat korporat.

“Ia (perjanjian perdagangan) tidak harus hanya menjaga kepentingan korporat semata-mata. Kepentingan rakyat juga penting.

“Daripada Malaysia, sebuah negara membangun, melompat dari satu perjanjian perdagangan ke satu perjanjian lain, adalah lebih baik kerajaan menyemak semula kedudukan perjanjian yang ditawarkan itu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, Kerajaan Persekutuan dicadang menggariskan beberapa langkah bagi memastikan perjanjian perdagangan yang akan ditandatangani kelak berupaya menjaga kepentingan rakyat yang semakin terhimpit dengan arus globalisasi.

“Ia termasuk mendraf peraturan Hak Harta Intelek (IPR) bagi memastikan harga ubat kekal mampu dibeli oleh orang ramai; jaminan pekerjaan dengan gaji yang tinggi dan pekerjaan kukuh dengan pelindungan secukupnya dan sebagainya,” katanya.

Amerika Syarikat (AS) yang merupakan pencetus inisiatif kepada rundingan hampir tujuh tahun TPPA mengumumkan penarikan diri dari perjanjian itu baru-baru ini selepas Donald Trump sah menjadi presiden di negara republik itu.

Tindakan itu sebagai menunaikan janji beliau sewaktu berkempen merebut jawatan tersebut.

TPPA melahirkan kebimbangan rakyat negara itu berikutan dakwaan perjanjian berkenaan bakal mengakibatkan kenaikkan harga bekalan ubat dan pelanggaran hak asasi manusia selain pengangguran.

Malaysia antara 11 negara yang menandatangi perjanjian itu dilaporkan media pada Sabtu lepas, akan meneruskan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan negara-negara terbabit sekiranya TPPA ternyata gagal untuk dilaksanakan ekoran penarikan AS. – Roketkini.com