Berita

Khaled Nordin dinasihat kerja kuat, jangan semberono hentam pembangkang

JOHOR BAHRU, 26 JAN: Tohmahan yang dilemparkan UMNO-Barisan Nasional (BN) terhadap pembangkang di Johor hanyalah taktik lapuk parti itu untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap kegagalan pengurusan pentadbiran negeri.

Adun Senai, Wong Shu Qi berkata, apabila rakyat beralih arah dan meminta bantuan dari pembangkang untuk menyelesaikan masalah mereka, ia secara tidak langsung menunjukkan kegagalan UMNO-BN menjaga kepentingan serta kebajikan rakyat.

“Sebagai contoh, seperti apa yang berlaku di Plentong, di mana ahli majlis daripada MCA melakukan kesilapan dalam mendraf pelan tapak kubur kaum Cina di kawasan tersebut.

“Hanya setelah penduduk dan pihak pembangkang membantahnya barulah menteri besar masuk campur untuk ‘menyelesaikan’ perkara itu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin seperti yang dilaporkan media pada Selasa, yang mendakwa pembangkang di negeri itu kononnya mengabaikan tuntutan rakyat dengan membangkitkan isu remeh.

Mengulas lanjut, Shu Qi yang juga Setiausaha Publitisiti DAP Johor berkata, Khaled perlu menumpukan usaha bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan negeri dan bukannya berterusan menyerang pihak pembangkang.

“Melainkan beliau memang merasakan bahawa kerajaan yang ditadbirnya itu memang ternyata gagal dan perlu campur tangan pihak pembangkang.

“Jika itu maksud Khaled, kami (pihak pembangkang) bersedia untuk menggantikan kerajaan lemah itu bila-bila masa demi memastikan kepentingan rakyat terbela,” katanya. – Roketkini.com