Rencana

Kit Siang negarawan, tak kemaruk jawatan

Apa sebenarnya permainan di sebalik mesej propaganda kononnya pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri apabila kerajaan pimpinan United Malays National Organisation melingkup dan tewas dalam pilihan raya akan datang?

Tujuannya tidak lain adalah untuk kembali memperingatkan orang Melayu terhadap propaganda yang lagi satu, bahawa Partai Tindakan Demokratik itu adalah parti cauvinis Cina, pro-Singapura, diberi makan oleh Israel dan mahu membangun daulah Nasrani. ‘Parti Cina’ itu tidak boleh diberi peluang duduk di jawatan kedua paling penting dalam negara.

Ya, itulah dia. Habislah orang Melayu semuanya jahanam sekiranya parti Cina itu diberi peluang menjadi Timbalan Perdana Menteri. Apatah lagi dengan membingkai DAP sebagai parti Lim Kit Siang, dan Lim Kit Siang lah yang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Habislah Melayu, habislah agama Islam, habislah Tabung Haji, Felda, JAKIM dan segala yang Melayu dan Islam.

Kah kah kah kah.

Mudah sekali Melayu kena tipu dengan UMNO.

Padahal hakikatnya yang menjahanam Tabung Haji itu pun orang UMNO, meski mukanya tidak begitu Melayu. Yang melingkup Felda sampai rugi berbilion duit peneroka juga muka orang UMNO, sedikit renek orangnya sekarang diam-diam duduk di Negeri Sembilan sana.

Bapak segala skandal, 1Malaysia Development Berhad, yang banyak cerita aneh itu juga dikelola seluruhnya oleh orang UMNO. Dengan kes seleweng dana berbilion untuk buat filem lucah dan bayar hutang judi, semuanya itu melibatkan orang UMNO. Belum ada mana-mana muka DAP yang muncul dalam siasatan pihak-pihak berkuasa antarabangsa.

Cukai Barang dan Perkhidmatan, pemotongan peruntukan hospital, universiti dan segala yang penting perlu itu juga semuanya angkara Melayu UMNO. Kita yang jenuh mencarut hari demi hari sambil membeli barang keperluan harian dan mengisi minyak kenderaan ini tidak pernah sekali pun memaki hamun DAP atas kesengsaraan yang kita tanggung itu.

Kita hanya maki UMNO – parti yang sudah hampir 60 tahun mentadbir hal ehwal negara dengan begitu ‘cemerlang’ sekali.

Namun apabila UMNO menyuap kita dengan propaganda kononnya Lim Kit Siang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, kita pun melompat memasang kuda-kuda. Cis.. pantang hak Melayu cuba digoyang-goyang.

Nyanyukkah kita ini sebenarnya?

Tidak kebulur jawatan

Sepanjang satu minggu lalu, hangat orang berkata tentang kerelaan Kit Siang menghulurkan ‘ranting zaitun’ kepada PAS, parti yang sudah dua kali berpatah arang dengan DAP, untuk kembali bersama menentang kleptokrasi dalam pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dua hal boleh kita lihat dalam situasi ini. Pertama, Kit Siang sanggup berbalik haluan dan mengenepikan perselisihan demi kebaikan yang lebih utama; iaitu untuk menyelamatkan Malaysia.

Kita telah menyaksikan ini awal tahun lalu, apabila Kit Siang duduk semeja bersama musuh tradisinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, menandatangani Deklarasi Rakyat; pun atas nama ‘menyelamatkan Malaysia’.

Adakah Kit Siang, pakcik berusia 76 tahun ini tidak ada kerja lain selain bermain politik demi meraih kuasa dan jawatan Timbalan Perdana Menteri, seperti yang disogok media-media tradisional yang dikawal UMNO?

Si Kit Siang ini, yang matanya pun sudah tidak berapa nampak; sanggup berjalan pusing satu negara, membawa mesej perpaduan, demokrasi, anti-perkauman dan melawan rasuah sejak 1966; adakah sedemikian besar nafsu politiknya sehingga tidak ada benda lain yang dimahukan selain menjadi pemimpin kerajaan di hujung-hujung usia tuanya?

Apa faedah Kit Siang berjuang 51 tahun, tewas pilihan raya berkali-kali, dikurung dan dipenjara, terus menapak dari rumah ke rumah, mengetuk hati dan minda masyarakat agar mengusung perubahan demi negara yang benar-benar milik rakyat Malaysia?

Takkanlah hanya untuk jadi Timbalan Perdana Menteri?

Eh, mari sini saya bagi tahu. Lim Kit Siang bukan kebulur jawatan macam orang UMNO, yang pagi petang siang malam berfikir bagaimana untuk menjatuhkan kawan-kawan demi mengambil alih jawatan supaya senang dapat kontrak dan projek kerajaan.
Impian Kit Siang, sama sahaja seperti impian kita semua. Beliau hanya mahu melihat sebuah negara yang bebas daripada pentadbiran para perompak, pencuri dan penyamun. Hanya dengan membebaskan negara daripada penyakit kleptokrasi bawaan UMNO, maka kita semua akan hidup aman makmur tanpa perlu disogok dengan sentimen perkauman dan ditakutkan dengan modal pembohongan. – Roketkini.com