Berita

Tidak kira kerajaan atau pembangkang, semua harus lawan kleptokrasi – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan semalam menunjukkan kedudukan Malaysia jatuh pula ke tangga-54 dengan catatan skor hanya 49.

Ia bermakna hasrat Malaysia untuk menjadi antara 30 negara dengan indeks paling bersih menjelang 2020 semakin jauh untuk dicapai.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata atas sebab itulah beliau sanggup bekerjasama dengan mana-mana pihak tidak kira PAS, MCA, Gerakan atau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri untuk membebaskan negara ini daripada kleptokrasi global.

“Tidak ada masa yang lebih sesuai dari sekarang untuk semua pemimpin politik, tak kiralah dari kerajaan atau pembangkang untuk menunjukkan cinta mereka kepada negara untuk menyelamatkan Malaysia dari kleptokrasi global.

“Lagi-lagi selepas laporan CPI yang dikeluarkan semalam.

“Namun, tawaran yang dibuat kepada Presiden MCA dan Presiden Gerakan untuk berbincang cara membebaskan Malaysia dari cengkaman kleptokrasi masih tiada respon,” ujarnya.

“Saya juga belum mendapat respon dari Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama ada beliau mahu bekerjasama dalam soal itu.”

Kit Siang pada Rabu lalu berkata beliau bersedia berjumpa MCA dam Gerakan bagi membincangkan kerjasama membebaskan Malaysia dari kleptokrasi global selepas menyatakan kesediaan bekerjasama dengan PAS.

Beliau mengharapkan Presiden kepada kedua-dua parti itu, Datuk Seri Liow Tong Lai dan Datuk Seri Mah Siew Kong akan memberi respon dalam tempoh 72 jam, namun hingga kini tiada sebarang balasan.

“Seolah-olah ada perjanjian tidak bertulis antara Liow, Mah dan Hadi untuk tidak melemparkan batu ke kapal Perdana Menteri serta tidak akan timbulkan sebarang isu mengenai skandal 1MDB.

“Adakah saya salah? Kita akan tahu apabila tawaran 72 jam saya kepada Liow dan Mah tamat tengah hari esok,” ujarnya. – Roketkini.com