Berita

DAPSY anjur protes di kedutaan Amerika, Perdana Menteri masih belum bersuara?

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Sudah lebih dua hari berlalu setelah Donald Trump mengeluarkan arahan eksekutif menghalang kemasukan pelarian ke Amerika, selain mengenakan larangan ketat ke atas warga tujuh negara Islam untuk tempoh tiga bulan mendatang.

Namun apa yang mengecewakan ialah sikap membisu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke atas arahan yang begitu kejam oleh pentadbiran presiden Amerika yang baru itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan Najib untuk menjauhkan diri daripada gelombang kemarahan global terhadap dasar baru Trump itu sebagai sangat membimbangkan.

Menurut Kit Siang, Najib begitu bersemangat mengkritik pentadbiran Aung San Suu Kyi dalam isu Rohingnya, namun kelihatan begitu ‘jinak’ di saat dunia Islam begitu berang dengan penindasan Trump ke atas para pelarian dan warga Iran, Iraq, Syria, Sudan, Somalia, Libya dan Yaman.

“PAS juga nampaknya langsung membisu terhadap arahan Trump yang begitu kejam.

“Ini langsung berlainan dengan sikap pimpinan PAS yang selalunya paling awal menyanggah dasar Trump itu,” ujar Kit Siang, menyifatkan sikap membisu PAS sebagai isyarat kerjasama antara Perdana Menteri dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Kedua-dua Najib Razak dan Hadi Awang sebelum ini telah berganding bahu duduk sepentas di acara Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya, Disember tahun lalu.

Kedua-duanya turut dijangka muncul bersama sekali lagi Jumaat nanti bagi melancarkan flotila bantuan kemanusiaan Rohingya.

“Alangkah baiknya jika program hari Jumaat nanti turut disertai protes terhadap arahan eksekutif Trump,” tambah Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

“Atau adakah Najib sedang menjauhkan diri daripada kemarahan dunia terhadap Trump ekoran saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat melibatkan skandal pengubahan wang 1MDB?” soal beliau.

Pada hari Jumaat yang sama, Sosialis Muda DAP (DAPSY) bakal mengemukakan memorandum bantahan ke Kedutaan Amerika Syarikat, membantah sekatan Trump terbabit. Orang ramai dijemput hadir menyertai protes terbabit bermula jam 2.30 petang, selepas solat Jumaat, di perkarangan Kedutaan Amerika, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. – Roketkini.com