Berita

Melayu dan Islam terbela di Pulau Pinang, exco agama sanggah Hadi

GEORGE TOWN, 30 JAN: Kepentingan kaum Melayu dan agama Islam di Pulau Pinang terbela di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan.

Menurut Exco agama Islam Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim, sejak Pakatan Harapan mengambilalih pentadbiran daripada Barisan Nasional (BN) pada 2008, syiar Islam terus berkembang subur jauh melebihi sewaktu kerajaan terdahulu.

Beliau membuat kenyataan demikian menyanggah dakwaan semberono Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menuduh kerajaan Pulau Pinang gagal membela kepentingan Melayu dan Islam negeri itu.

“Mana mungkin, Presiden PAS gagal melihat pencapaian dan pembaharuan ketara antara kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang dengan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

“Hakikatnya, syiar Islam terus subur di Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang diterajui oleh DAP dan PKR. Melayu dan Islam akan terus terbela di Pulau Pinang,” katanya.

Abdul Malik berkata, belanjawan bagi hal ehwal agama Islam pernah mencecah sehingga 300 peratus melebihi bajet agama sewaktu Pulau Pinang ditadbir oleh kerajaan yang diketuai parti Gerakan iaitu rakan politik Umno.

Tindakan itu katanya telah menyebabkan pemimpin Gerakan-BN mengecam secara terbuka pentadbiran kerajaan negeri, khususnya DAP kerana menyalurkan bajet agama yang besar berbanding zaman BN.

“Bajet agama ini, sehingga kini tidak berkurang daripada keperluan semasa.

“Selaku Exco Agama, saya ingin memaklumkan perkembangan pendidikan Islam khususnya Sekolah Agama Rakyat, KAFA, Maahad Tahfiz, Pondok dan TADIS terus dibantu berdasarkan keupayaan kewangan negeri,” umum beliau.

Selain bajet tahunan untuk Hal Ehwal Agama, kerajaan PH Pulau Pinang juga jelas Abdul Malik menydiakan bajet khusus untuk institusi pendidikan Islam negeri itu.

“Sehingga kini, lebih RM14 juta telah disalurkan untuk tujuan itu. Bahkan guru-guru dan kakitangan institusi pendidikan Islam menerima bonus tahunan yang tidak pernah diterima sebelum ini.

“Bajet dan sumbangan itu, tidak termasuk pembinaan masjid, surau dan sekolah agama yang dibiayai oleh kerajaan negeri yang ketara berbanding kerajaan terdahulu,” katanya.

Jelas beliau, sejah PH mengambil alih pentadbiran Pulau Pinang, semakin banyak program-program agama diperkenalkan.

Antaranya ialah Ijtimak dan Anugerah Al-Hufaz, bulan-bulan Al-Quran dan Konvensyen Al-Islam Rahmatun Lil Alamin yang bertujuan mengangkat martabat masyarakat Islam negeri itu.

“Program keagamaan dan majlis ilmu di masjid dan surau berkembang subur. Para pendakwah dan ustaz-ustaz tidak disekat hanya kerana berbeza fahaman politik dengan kerajaan negeri.

Menurutnya, amalan yang tidak pernah berlaku pada zaman BN, di mana para ustaz PAS dihalang mengajar dan berkuliah di masjid dan surau di Pulau Pinang.

“Bahkan, bekas Pesuruhjaya PAS, Datuk Salleh Man yang kini sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang sendiri tidak dibenarkan menyampaikan kuliah di masjid pada zaman BN,” jelasnya.

Selain itu, kerajaan Pulau Pinang juga telah mengumumkan untuk membina Hospital Islam setinggi 14 tingkat, yang pertama di negeri ini dan akan dimulakan pada Mac depan dijangka siap dalam tempoh 3 tahun.

Manakala, pembinaan Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang pula katanya akan dimulakan pada pertengahan tahun ini.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri sebelum ini juga telah menganugerahkan sebidang tanah bernilai lebih RM80 juta bagi pembinaan Ibu Pejabat Mahkamah Syariah setinggi 7 tingkat di Jalan Scotland.

Pentadbiran negeri yang diketuai Lim Guan Eng juga telah mengambil contoh pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz yang telah melaksanakan polisi ‘amar maaruf nahi mungkar’ dan pembasmian kemiskinan.

“Atas semangat itulah, kerajaan negeri melaksanakan ‘ Program Pembasmian Kemiskinan Tegar’ bagi menghapuskan miskin tegar di kalangan rakyatnya, tanpa mengira kaum dan agama.

“Kerajaan Negeri memperkenalkan program ‘Agenda Ekonomi Saksama di mana Keluarga yang berpendapatan di bawah RM750 sebulan, akan dibantu secara bulanan. Lebih 1000 keluarga yang dikenalpasti, 90 peratus adalah Melayu Islam,” ujarnya. –Roketkini.com