Saya berasa sangat mual dan kesal dengan larangan masuk yang dikenakan oleh Presiden Amerika, Donald Trump ke atas warga Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman; atas kapasiti sebagai Presiden Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa, dan juga sebagai United States Citizen Diplomat di bawah program International Visitor Leadership Programme (IVLP).
Diskriminasi tahap tinggi
Menghalang mana-mana warganegara adalah sama buruknya dengan halangan masuk terhadap warga Muslim. Menuduh seseorang sebagai memiliki kecenderungan pengganas semata-mata atas dasar kewarganegaraan, apatah lagi agama adalah diskriminasi tingkat paling tinggi. Agama adalah pilihan, namun seseorang tidak boleh memilih tempat kelahirannya.
Di mana akhirnya? Belgium mempunyai kadar perkaderan Da’esh per kapita paling tinggi di dunia. Adakah Presiden Trump akan megnhalang warga Belgium daripada memasuki Amerika? Malaysia juga sebuah negara majoriti umat Islam, yang turut didakwa sebagai pusat perkaderan Da’esh, bila pula giliran Malaysia untuk menyertai senarai negara larangan terbabit?
Kemunafikan tingkat tinggi
Syarat-syarat yang dikenakan oleh dasar larangan terbabit juga merupakan petunjuk kemunafikan tahap tinggi. Mereka yang dihalang masuk, menurut perintah eksekutif Trump adalah mereka yang:
– “Meletakkan ideologi ganas melampaui undang-undang Amerika”
– “Terlibat dengan aksi taksub dan penuh kebencian” atau
– “Akan menindas rakyat Amerika tanpa mengira kaum, gander atau orientasi seksual.”
Tukar sahaja kata Amerika dalam mana-mana syarat itu dengan nama salah satu daripada tujuh negara yang berdepan larangan terbabit, dan dengan mudah sekali kita boleh menggelarkan larangan tersebut sebagai satu kemunafikan.
Satu nilai sejagat bagi kesemua tuyjuh negara yang berhadapan larangan itu ialah kesemuanya pernah berhadapan tindakan ketenteraan Amerika, atau paling tidak pun ia terlibat secara signifikan.
Menyerang sesebuah negara mengerusi aksi ketenteraan dan enggan mengakui bahawa warga mereka yang menjadi mangsa sebagai pelarian dan kemudian menghalang kemasukan mereka sudah cukup teruk. Memberi alasan yang dianggap ramai sebagai niat aksi ketenteraan Amerika ke atas negara-negara terbabit, itu adalah kemunafikan.
Ketidakbertanggungjawaban tingkat tinggi
Demokrasi adalah kebertanggungawaban kepada rakyat. Amerika yang senantiasa cuba menjadi pemimpin dunia bebas turut perlu bertanggungjawab kepada warga dunia. Dengan mengkhianati semangat para pendiri negara itu, seperti yang disebut presiden Amerika yang pertama:
“The bosom of America is open to receive not only the Opulent and respected Stranger, but the oppressed and persecuted of all Nations and Religions; whom we shall welcome to a participation of all our rights and privileges…”
(Amerika terbuka menerima bukan sahaja orang asing yang hidup mewah dan dihormati, tetapi juga mereka yang ditindas dan dianiaya dari segenap negara dan agama, yang akan kita alu-alukan untuk menikmati kesemua hak dan keistimewaan yang kita ada…)
George Washington
Dan;
“I had always hoped that this land might become a safe and agreeable asylum to the virtuous and persecuted part of mankind, to whatever nation they might belong.”
(Saya sentiasa berharap bahawa tanah ini akan menawarkan suaka yang selamat buat mereka yang tertindas namun berbudi luhur, tidak kiralah dari negara mana pun mereka datang)
George Washington
Presiden Trump bukan sahaja mengabaikan tanggungjawab kepada dunia, tetapi juga terhadap demokrasi, kebebasan, hak yang termaktub dalam perlembagaan, dan terutamanya Amerika dan juga rakyatnya.
Ramai anak muda, rakyat Malaysia dan warga dunia terus menyatakan setiakawan buat rakyat Amerika. Kita menghormati hak kedaulatan Amerika, namun nampaknya semakin payah untuk menghormati jawatan tertinggi ‘Commander in Chief’ Amerika Syarikat. – Roketkini.com
*Howard adalah Presiden Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa, Setiausaha Antarabangsa Sosialis Muda DAP dan ADUN Pasir Pinji.