Berita

Cadangan Ku Nan tukar Pulau Pinang jadi Wilayah Persekutuan satu penghinaan – Lip Eng

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor untuk menjadikan Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian dari Melaka sebagai Wilayah Persekutuan semalam terus dipersoal dan mendapat kritikan.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, cadangan Setiausaha Agung Umno itu terhadap Pulau Pinang misalnya boleh disiasat polis kerana cadangan tersebut mungkin suatu penghinaan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, Pulau Pinang berjaya mendapat pelbagai pengiktirafan dunia.

Pulau Pinang antara lain jelasnya telah disenaraikan CNN sebagai antara tempat terbaik untuk bersara di dunia pada tahun lalu manakala pada tahun ini pula, negeri itu berada di kedudukan kedua sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.

“Alasan yang diberikan Ku Nan kononnya Pulau Pinang boleh mendapat peruntukan Persekutuan adalah bukti bahawa si menteri ini mempunyai terlalu banyak peruntukan kewangan dan kuasa sehinggakan beliau langsung tidak tahu apa yang nak dibuat dengan peruntukan tersebut, demi manfaat penduduk Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” kata Lip Eng.

Tegasnya, sebelum Adnan mahu membuat penjelasan kepada rakyat Pulau Pinang mengenai  manfaat yang boleh beliau berikan jika dijadikan salah satu Wilayah Persekutuan, rakyat perlu tahu  terlebih dahulu apa pencapaian ketiga-tiga Wilayah yang lain di bawah pentadbiran menteri itu.

“Adakah cadangan untuk mengharamkan gelandangan dan penunggang kapcai daripada ‘menyesakkan’ Kuala Lumpur itu satu cadangan yang baik? Adakah Ku Nan akan mahu mengharamkan gelandangan dan kapcai di Pulau Pinang juga?

“Berapa ekar hartanah milik Kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur telah dijual kepada 1MDB, UMNO dan pemaju swasta?

“Bolehkah Ku Nan senaraikan tiga keutamaan yang akan menggunakan peruntukan RM1.61 bilion dana Kementerian Wilayah Persekutuan untuk penduduk Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya tahun ini?” soalnya.

Jelas Lip Eng, tiada satu perkara pun yang tidak mampu dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya tanpa kewujudan Kementerian Ku Nan.

“Hakikatnya juga, Kementerian Ku Nan bukan sahaja mewujudkan pertindihan kerja, ia malah mengganggu kerja ketiga-tiga pihak berkuasa tempatan terbabit.

“Apa yang lebih afdhal untuk dilakukan oleh Ku Nan sempena Hari Wilayah Persekutuan ini ialah untuk membubarkan kementeriannya itu, yang menjimatkan RM1.61 bilion dana milik rakyat Malaysia,” gesanya. –Roketkini.com