Berita

Cukup-cukuplah PAS tuduh DAP bukan-bukan, fokus kepada masalah rakyat

SUBANG JAYA, 2 FEB: PAS diminta berhenti dari terus terjerumus dalam kempen jahat Umno memburuk-burukkan DAP sebagai anti-Islam dan seumpamanya.

Ini kerana, propaganda memburuk-burukkan DAP itu bertujuan untuk melemahkan kekuatan pembangkang negara ini menumbangkan kerajaan kleptokrasi pimpinan Perdana Menteri Najib Razak dalam pilihanraya umum akan datang.

Hakikatnya, DAP tidak pernah anti-Islam malah mengiktiraf dan sentiasa menjunjung pengamalan Islam di Malaysia berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Tuduhan jahat itu juga terbukti meleset apabila kerajaan Pakatan di Pulau Pinang dan Selangor sentiasa peka terhadap kebajikan umat Islam negeri itu dengan pelbagai program, inisiatif dan peruntukan kebajikan serta pembangunan yang berterusan, tidak seperti negeri lain yang ditadbir BN.

Menurut Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Subang, Farhan Haziq, ‘semboyan’ DAP anti-Islam ini sama dengan tuduhan yang pernah dilontarkan oleh Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan terhadap DAP pada tahun lalu.

Ia berlaku sewaktu Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menghulurkan salam perdamaian demi menyelamatkan Malaysia yang tenat di bawah pemerintahan kleptokrasi Najib Razak.

“Dalam video wawancara bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 26 Januari 2017, beliau telah menuduh DAP anti-Islam kerana menentang negara Islam dan tidak bersetuju dengan RUU 355,” kata Farhan.

Tuduhan ini ujarnya bagaimana pun berbeza dengan apa yang pernah ditegaskan parti itu sebelum ini yang menyatakan bahawa ‘Negara Islam’ adalah ‘Negara Berkebajikan’.

“Konsep negara berkebajikan yang dinyatakan oleh PAS adalah sebuah negara yang mengutamakan rakyat, negara yang kekayaannya tidak berlegar di kalangan orang-orang kaya sahaja, negara yang kerajaannya tidak mengenakan cukai yang bersifat paksaan, negara yang memastikan tadbir urus yang baik dan negara yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan asas kepada rakyat,” jelasnya.

Haziq berkata, Ahli Parlimen Marang itu sendiri pernah menyatakan dalam sidang akhbar pada 3 Jun 2011 bahawa apa yang penting adalah pelaksanaan yang dimulakan dengan negara berkebajikan.

“Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama sahaja tapi tidak laksana, tidak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan. Itu ada dalam al-Quran. Dia tidak sebut negara islam. Dia sebut negara berkebajikan”, kata Abdul Hadi yang boleh ditonton di https://www.youtube.com/watch?v=bPDXK6Ze2mM

Malah, Mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin berkata bahawa tiada istilah ‘negara Islam’ secara khusus melainkan mengenai Darul Islam yakni negara atau kawasan diperintah oleh orang Islam merujuk kepada kitab-kitab fiqh.

“Maka, apakah asasnya DAP dilabel sebagai anti-Islam jika Datuk Seri Hadi sendiri menyatakan bahawa tiada istilah negara Islam dalam al-Quran?

“Apakah PAS kini sudah kembali menjaja jenama negara Islam (walaupun mengakui ia tiada dalam Al Quran) dan mengenepikan realiti semasa yang dihadapi rakyat akibat kebobrokan pemerintah Najib Razak? Adakah PAS lupa salah guna kuasa yang berlaku dalam 1MDB, Tabung Haji, MARA dan Felda?

“Adakah PAS hanya menutup sebelah mata mengenai pelaksanaan negara berkebajikan dan mengutamakan jenama RUU 355? Saya berharap tuduhan ini dihentikan dan ditarik balik oleh PAS. Berhentilah politik fitnah seperti ini jika tidak mempunyai bukti yang kukuh,” gesanya.

Haziq berkata, Lim Kit Siang sendiri menegaskan bahawa DAP tidak anti-Islam malah menyokong wawasan perjuangan Islam yang inklusif, progresif, tercerahkan dan bertoleransi sebagaimana yang dinyatakan pada tahun 2013 iaitu “PAS UNTUK SEMUA”.

“Sikap PAS ini hanya akan memberi kelebihan kepada rejim UMNO BN yang mahu melihat pembangkang berpecah belah,” ujarnya.

Beliau berkata, jika PAS Selangor mahu bekerjasama di dalam kerajaan negeri bersama blok pembangkang demi kepentingan rakyat demi pertandingan ‘satu lawan satu’ dalam Pilihan Raya Umum ke-14, mengapa tidak di peringkat Persekutuan? – Roketkini.com