Berita

Harga petrol sepatutnya naik 3.8 sen, kenapa naik sehingga 20 sen?

PETALING JAYA, 2 FEB: Pasukan komunikasi strategik BN tidak perlu menjelaskan panjang lebar mengaburi rakyat untuk menutup tindakan kerajaan mewajarkan kenaikan harga petrol.

Sebaliknya, mereka hanya perlu memberi maklumat sebenar bagaimana kerajaan menaikkan 20 sen harga minyak secara mendadak sehingga membebankan rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berdasarkan penjelasan pasukan komunikasi BN sendiri, perbezaan harga minyak pada Januari hanyalah 3.8 sen.

“Kalau begitu, saya nak tanya mengapa kerajaan menaikkan sehingga 20 sen?” soalnya dalam satu kenyataan.

Mereka menjelaskan bahawa harga dikira dari purata harga minyak ditapis yang diukur menggunakan sistem harga Singapore Means of Platts (MOPS).

Jelas Tony, purata harga bagi MOPS95 bagi bulan Disember 2016 ialah AS$66.553 atau AS$0.4186 setiap tong yang menjadikannya RM1.8753 seliter berdasarkan tukaran nilai RM4.48 bagi setiap satu dolar Amerika.

Bagi bulan Januari pula, purata harga bagi MOPS95 sedikit meningkat pada AS$68.820 setiap barel atau AS$0.4328 seliter menjadikannya RM1.9130 seliter berdasar tukaran nilai RM4.32 bagi satu dolar Amerika.

Justeru, Setiausaha Publisiti DAP itu mengulangi desakannya supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan menjelaskan kenapa harga petrol naik mendadak sehingga 20 sen.

“Kementerian Kewangan perlu dedahkan adakah kerajaan mengenakan cukai tersembunyi kepada pengguna untuk menutup kekurangan dana kerajaan?

“Sekali lagi saya menggesa kerajaan mendedahkan maklumat yang tepat bagaimana kenaikan ini boleh berlaku supaya rakyat Malaysia tahu mengapa mereka terpaksa menderita akibat dasar-dasar kerajaan ini,” katanya. –Roketkini.com