Berita

Wujudkan had harga minyak untuk ringankan beban rakyat

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) disaran menetapkan harga syiling minyak bagi mengimbangi mekanisme apungan terkawal yang digunakan kerajaan ketika ini untuk menentukan harga bahan api tersebut.

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Young Syefura Othman berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi meringankan beban yang bakal ditanggung rakyat jika harga minyak mentah dunia berterusan meningkat pada masa akan datang.

“Malah, jika benar dikatakan pendapatan kerajaan juga akan meningkat mengikut pergerakan harga minyak dunia, saya menyeru agar lebihan pendapatan digunakan untuk membantu rakyat.

“Walaupun berdasarkan mekanisme apungan terkawal, saya mendesak kerajaan agar mewujudkan had untuk harga minyak yang perlu dibayar oleh rakyat, satu harga siling,” katanya  dalam kenyataan kepada Roketkini hari ini.

Selain itu, katanya yang juga Penolong Setiausaha Wanita DAP, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) harus diberikan setiap tiga bulan dengan kadarnya ditingkatkan sewajarnya selaras dengan kenaikan harga minyak.

Katanya, ia setimpal dengan dasar UMNO-BN sebelum ini yang enggan memberikan subsidi minyak atas alasan kononnya ingin membantu golongan sasaran berpendapatan rendah.

“Sekiranya kerajaan boleh naikkan harga minyak setiap bulan, saya menuntut kerajaan bukan hanya beri BR1M setiap tiga bulan, tetapi naikkan jumlah pemberian BR1M setiap tiga bulan, seadilnya!

“Jika perkara ini pun tidak terjangkau dek akal kuasawan-kuasawan di Putrajaya, maka sudah masanya Putrajaya dibersihkan dan digantikan dengan kerajaan baru,” tegasnya yang mesra dipanggil Rara.

Menurut beliau yang juga Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Kajang, rakyat juga sudah muak dengan alasan UMNO-BN yang seringkali menyogok propaganda murahan ‘harga minyak Malaysia paling murah di rantau ini’ tanpa memberikan sebarang penjelasan jujur lagi terperinci.

“Kerajaan sepatutnya betul-betul mengeluarkan data, angka dan pengiraan yang dilakukan untuk menetapkan harga minyak.

“Kenapa perlu berahsia dengan rakyat? Adakah perkara itu termasuk dalam perkara yang perlu dirahsiakan atas alasan mampu menggugat keselamatan negara?” soalnya.

Harga petrol RON95 dan RON97 masing-masing naik sebanyak 20 sen bermula Rabu lalu, kepada RM2.30 dan RM2.60. Manakala harga minyak diesel naik sebanyak 10 sen kepada RM2.15. – Roketkini.com